Wednesday, December 25, 2019

Semua stesen Petronas kini bekal RON95 gred Euro 4M

Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Semua stesen minyak Petronas di seluruh negara kini membekalkan bahan api RON95 gred Euro 4M iaitu lebih awal dari tarikh yang diwartakan kerajaan pada 1 Januari depan.

Menurut kenyataan Petronas Dagangan Bhd (PDB) hari ini, spesifikasi bahan api baharu itu hanya mengandungi 50 bahagian bagi setiap sejuta sulfur yang juga 10 kali lebih rendah daripada standard Euro 2M bagi petrol RON95.

Malah, kandungan bahan benzena turut dikurangkan sebanyak 30 peratus kepada 3.5 peratus manakala tekanan wap juga rendah sebanyak 7.0 peratus kepada 65 kilopascal sekali gus menjadikan bahan api itu bersih untuk enjin serta alam sekitar.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir berkata, langkah peningkatan bahan api RON95 kepada standard Euro 4M di semua stesen minyak Petronas telah dilaksanakan sejak awal Disember ini.

"Menerusi langkah ini, pelanggan kami tidak hanya menikmati pemanduan lebih lancar dan responsif, tetapi turut (menggunakan) bahan api lebih bersih yang sesuai dengan kenderaan moden hari ini bagi mengurangkan pencemaran udara. Ini turut memberi manfaat dari segi kesihatan dan iklim.

"Oleh itu, Petronas Primax 95 dengan Pro-Drive ini adalah bagus untuk enjin serta alam sekitar," katanya.

Maklumat lanjut mengenai Petronas Primax dengan Pro-Drive yang menepati pematuhan Euro 4M boleh diperolehi menerusi www.mymesra.com.my. - Bernama

No comments: