KERAJAAN didesak menjalankan siasatan terperinci ke atas penganjuran program memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai 1989 yang berlangsung di Sepang dan Kajang, baru-baru ini.
Gesaan berkenaan dibuat 11 gabungan Persatuan Bekas dan Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membendung cubaan menghidupkan semula ideologi komunis di negara ini.
Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Tan Sri Mohd Ismail Che Rus berkata, tindakan tegas perlu diambil jika didapati penganjuran majlis itu melanggar undang-undang.
Menurutnya, setiap pihak atau individu yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam memperbesarkan perjuangan, tokoh dan ideologi Parti Komunis Malaya (PKM) perlu dikenakan tindakan setimpal.
“Kita mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera mengambil tindakan undang-undang termasuk menggubal undang-undang atau peraturan bagi mengharamkan apa saja unsur yang mengaktifkan semula PKM,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Pejuang Negara Menentang Komunisme di Padang Merbok, di sini, semalam.
Hampir 3,000 orang menyertai perhimpunan bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari itu.
Hadir sama, bekas Ketua Polis Negara ke-4, Tun Mohammed Hanif Omar dan bekas Ketua Polis Negara ke-8, Tan Sri Musa Hassan.
Dalam pada itu, Mohammed Haniff berkata, bekas ahli PKM yang cuba menghidupkan kembali ideologi komunisme disifatkan sebagai tidak tahu bersyukur.
“Peluang (ahli komunis) balik ke sini (Malaysia) sudah diberikan selain kita beri mereka mulakan hidup baharu, namun mereka masih mahu mengagungkan komunis.
“Pada 1941 dahulu, mereka (PKM) lawan Jepun pun atas arahan Soviet Union (Russia), bukan atas dasar perjuangan yang mana mereka sememangnya tidak hargai peluang diberikan,” katanya.
Pada 1 Disember lalu, sebuah portal berita melaporkan, 300 orang menghadiri perhimpunan yang diadakan di sebuah kolej swasta di Kajang, Selangor, dipercayai membabitkan bekas anggota PKM.
Difahamkan, perhimpunan itu diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.
Sebelum ini, rakyat di negara ini digemparkan dengan tindakan satu kumpulan menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang untuk memperingati Setiausaha Agung PKM, Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang meninggal dunia pada usia 90 tahun di sebuah hospital di Bangkok pada 16 September 2013.
No comments:
Post a Comment