Tiada penawar sembuhkan polio, tapi boleh dicegah melalui vaksin
MELAKA – Golongan menolak vaksin terutama ibu bapa yang enggan membenarkan
anak mereka diberi suntikan vaksin imunisasi, seharusnya insaf dengan
kes polio baru-baru ini, yang hanya boleh dicegah dengan vaksin sebagai
pelindung kepada nyawa terutama kanak-kanak.
Perunding pakar pediatrik dan ahli
imunologi Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata, ini kerana polio adalah
penyakit amat berbahaya apabila satu daripada 200 mereka yang dijangkiti
akan lumpuh seluruh badan, manakala lima hingga 10 peratus dijangkiti
meninggal dunia.
Lebih memburukkan keadaan, katanya, polio
adalah penyakit yang amat mudah berjangkit serta merebak kesan daripada
najis, lendir, makanan, sistem sanitasi dan persekitaran tidak bersih.
“Tiada penawar untuk menyembuhkan
penyakit polio ini ditemui hingga ke hari ini, tetapi polio boleh
dicegah dengan vaksin yang telah lama terbukti selamat dan berkesan.
“Polio ini suatu penyakit yang amat
serius, maka pastikan anda dapat imunisasi yang lengkap dan bagi mereka
menolak vaksin saya harap ini jadi suatu keinsafan buat mereka,” katanya
ketika dihubungi pemberita.
Pada 6 Disember lepas, seorang bayi
lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah dimasukkan ke Unit Rawatan
Rapi sebuah hospital selepas disahkan dijangkiti vaccine-derived
poliovirus type 1 (VDPV1), adalah kes polio pertama setelah Malaysia
diisytiharkan bebas penyakit itu 27 tahun lepas.
Menurut Jadual Imunisasi Kebangsaan
Malaysia, bayi perlu menerima vaksin polio tidak aktif (IPV) pada usia
dua bulan, tiga bulan dan lima bulan. Bayi itu juga perlu diberi dos
tambahan apabila mencapai usia 18 bulan.
Dr Musa berkata, tahap imunisasi bagi
sesebuah komuniti mencegah penyakit dengan berkesan adalah 95 peratus
dan menurutnya Kementerian Kesihatan serta semua pihak terbabit telah
melaksana langkah imunisasi membanggakan apabila negara ini melebihi 96
peratus tahap imunisasi nasional.
Bagaimanapun beliau berkata, apa yang
membimbangkan adalah kegagalan sesetengah komuniti setempat di negara
ini terutama di kawasan pendalaman memperoleh vaksin, antaranya akibat
kurang pengetahuan seterusnya gagal mencapai tahap imunisasi berkesan 95
peratus itu.
“Syabas Kementerian Kesihatan kerana
telah melaksana pemantauan dan mengambil respons awal apabila dua
setengah bulan lepas berlaku penularan polio di Filipina. Saya percaya
kementerian akan mengambil langkah meningkatkan liputan imunisasi dalam
kalangan komuniti tahap imunisasi rendah ini,” katanya.
Media sebelum ini turut melaporkan
siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak dijangkiti polio itu
mendapati 23 daripada 199 orang berumur antara dua bulan hingga 15 tahun
tidak menerima vaksin polio, menunjukkan hanya 88.4 peratus menerima
vaksin polio dalam kumpulan itu. -Bernama
No comments:
Post a Comment