Saturday, December 7, 2019

PAU2019: Zahid pertegas strategi Muafakat Nasional

HASPAIZI ZAIN


ULASAN | Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi pada ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019 sekali menekankan bahawa Umno, BN dan Muafakat Nasional tidak sama sekali mengimpikan untuk memasuki Putrajaya melalui pintu belakang.

Ucapan Zahid itu memberi isyarat jelas kepada "segelintir" pemimpin Umno yang berminat untuk membentuk pakatan dengan parti-parti lain.

Bahtera Umno hanya mempunyai satu nakhoda, itu penegasan jelas Zahid bahawa segala perkara yang berkait dengan urusan parti hanya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan Umno dan jangan ada anak kapal yang ingin mengubah haluan bahtera Umno.

Penegasan Zahid itu amat penting, ketika mana bahtera Umno yang hampir karam kembali pulih kini dalam perjalanan menunju ke destinasi yang ditetapkan dan sememanganya perlu bebas daripada sebarang gangguan ataupun ancaman.

Jika ada kelasi yang cuba mengubah haluan bahtera itu ataupun cuba merosakkan layarnya, maka bahtera yang baru pulih daripada dibadai "ombak kekalahan" pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu akan karam di tengah samudera.
Penegasan sebegitu penting bagi memastikan ahli dan pemimpin Umno bergerak dalam satu saf dan akur kepada kalifah yang memimpin mereka.

Kehadiran veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah di pentas Majlis Tertinggi (MT) selepas lebih 32 tahun berada di kerusi bawah menarik perhatian perwakilan dan pemerhati.

Begitu juga bekas perdana menteri, Najib Razak turut diletakkan di pentas utama bersama barisan MT.

Dalam hal ini, Zahid patut diberi kredit kerana percaturan yang bijak membawa kembali dua tokoh ini supaya turut memainkan peranan utama dalam Umno.

Tengku Razaleigh ataupun Ku Li mempunyai pengaruh dan kekuatannya yang tersendiri, begitu juga dengan Najib yang sembilan tahun mengemudi kerajaan selain "Bossku" berjaya menarik kembali sokongan rakyat.

Seperti kata Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dalam Umno semua pihak ada peranan dan kelebihan masing-masing. Dan pastinya dalam menghadapi Pakatan Harapan (PH) yang dikemudi pakar strategi Dr Mahathir Mohamad, keupayaan Ku Li, Najib dan semua pihak harus digembeleng bagi memperkuatkan Umno.
Muafakat Nasional jelas cuba ditonjolkan Umno betapa kini mereka mempunyai persefahaman dan sedia untuk mengambil alih kerajaan.

Dengan menampilkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Presiden MCA Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, SA Vigneswaran ia bagaikan memberi isyarat bahawa mereka telah serasi di bawah payung Muafakat Nasional.

Umno juga semalam, dalam usaha memperkasakan parti itu selepas dilanda badai dalam PRU ke-14 lalu dengan meminda 13 perkara dalam perlembagaannya.

Ia bagi memastikan Umno bersifat lebih inklusif, mesra rakyat, mudah didampingi serta memenuhi selera anak muda masa kini dalam era digital.

Antara pindaan perlembagaan yang dilakukan adalah, meletakkan Islam di depan dalam perjuangan kebangsaan mereka, mempermudahkan urusan pendaftaran keahlian melalui pendaftaran secara dalam talian.

Mood perwakilan kali ini agak ceria selepas parti itu melalui BN berjaya memenangi empat pilihan raya kecil (PRK), bagaimanapun kehangatan PAU 2019 tidak lagi seperti mana ketika Umno berada di tampuk kuasa.


*HASPAIZI ZAIN ialah wartawan Malaysiakini.


No comments: