Saturday, December 7, 2019

Dua ditahan susulan pergaduhan di kongres AMK

BERNAMA
 


Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden kekecohan pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad berkata mereka yang ditahan masing-masing berusia 30 tahun dari Klang, Selangor dan 29 tahun dari Kuala Lumpur, manakala kes itu disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

"Dua cedera dalam kejadian itu iaitu seorang luka berdarah di dahi kanan; manakala seorang lagi luka di bibir bahagian mulut bawah, bahagian kepala sebelah kanan dan bahagian belakang kepala,"
katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi Whatsapp di Melaka, malam ini.

Beliau berkata sebanyak tiga laporan polis diterima sehingga pukul 8.00 malam ini dan satu daripada laporan itu adalah dari bekas Pengerusi Tetap AMK, Mizan Adli Mohd Noor.

Permulaan kongres tahunan AMK hari ini dicemari dengan insiden kecil kekecohan ekoran sekumpulan anggota AMK tidak dibenarkan masuk ke dewan persidangan kerana telah penuh.- Bernama


No comments: