Wednesday, December 25, 2019

MCA tunjuk taring, pertikai pula program dakwah di universiti

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Parti perkauman jadi 'lebih DAP dari DAP' sejak menang Tg Piai


BANGI – Sejak memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, MCA bagai mendapat ‘nafas baru’, malah menjadi lebih cauvinis dan Islamofobia, kata Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata demikian selepas Presiden parti perkauman MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membangkitkan isu kebenaran yang diberikan kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membuat program di universiti dan sekolah.

Terdahulu, Ka Siong mendedahkan surat KPM kepada semua pengarah pelajaran negeri mengenai aktiviti Rakan Siswa Yadim untuk menjalankan aktiviti dakwah di sekolah, politeknik, kolej komuniti, universiti awam dan universiti swasta terpilih.

Presiden parti perkauman itu turut mempersoalkan mengapa penyebaran agama dicampur adukkan di sekolah.

Mengulas perkara itu, Haji Aminuddin berkata, MCA bangkit dengan semangat mahu menjadi ‘lebih DAP dari DAP’ bagi memenangi hati orang Cina.

“Terlalu banyak isu dan kontroversi yang dibangkitkan MCA selepas PRK Tanjung Piai seperti isu jawi, UEC, pilihan raya PBT dan sebagainya.

“Terkini, presiden MCA mempertikaikan pembabitan ‘Rakan Siswa Yadim’ ke dalam universiti dan sekolah-sekolah dengan menuduhnya sebagai Islamisasi.

“Pertama sekali, salahkah sebarang usaha Islamisasi di Malaysia? Bukankah sudah termaktub dalam Perlembagaan bahawa Islam sebagai agama bagi Persekutuan? Bermaksud Malaysia adalah negara Islam,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yakin sekiranya Yadim masuk ke sekolah vernakular, ia adalah lebih berpeluang untuk menjelaskan keharmonian Islam, menjelaskan salah faham terhadap Islam supaya tidak ada elemen kebencian kepada agama itu.

Bahkan tindakan itu juga sekali gus menangkis Islamofobia, bukannya untuk menukarkan agama pelajar Cina kepada Islam, tegas beliau.

“Justeru, mengapa Ka Siong membuat tuduhan melulu tanpa mengkaji tujuan dan motif pihak KPM mengeluarkan arahan demikian?

“Adakah beliau hanya mahu menghasut masyarakat Cina dengan menggunakan Islamofobia? Ini nampaknya serupa seperti taktik dan modus operandi DAP sahaja.

“Saya sama sekali tidak menghalang mana-mana pihak untuk bekerjasama dengan MCA tetapi perlulah kita bertegas supaya jangan yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran,” kata Haji Aminuddin.


No comments: