Oleh Athirah Huda Zalhe
Senator PKR akui bukan pertama kali konflik dalam parti berlaku
BANGI
– Ahli Dewan Negara, Senator Ismail Yusop menolak dakwaan konflik yang
berlaku di antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan
timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah disebabkan perebutan
jawatan perdana menteri.
Tanpa
mengulas jelas punca konflik tercetus, beliau berkata, keputusan untuk
memilih Anwar sebagai perdana menteri bukan sahaja diputuskan di
peringkat Pakatan Harapan (PH), bahkan dipersetujui sendiri pimpinan
serta ahli PKR.
Ismail
berkata, beliau yakin semua ahli tidak kira daripada kem Mohamed Azmin
bersetuju bahawa individu yang layak diberi peluang adalah Anwar.
“Politik
kita tak boleh halang daripada persepsi luar. Tetapi akhirnya ialah
bagaimana kita nak mengimbangi suara dalam parti yang ada macam-macam
cara. Orang tak boleh serang dari luar, serang pula dari dalam.
“Namun,
apa yang penting bagi kita adalah bagaimana kita menguruskan krisis ini
kerana ia bukan kali pertama berlaku di dalam Keadilan,” katanya dalam
temu bual Kerusi Panas di TV Pertiwi, malam ini.
Ahad lalu,
hari terakhir Kongres Nasional PKR berlangsung tanpa kehadiran Mohamed
Azmin serta pimpinan yang menyokongnya, didakwa sebagai memboikot majlis
penggulungan dan penangguhan kongres itu.
Sehari
sebelumnya, satu sidang media diadakan oleh Mohamed Azmin yang mendakwa
Anwar gagal memenuhi janji memastikan pembahas patuh pada kerangka dan
parameter ucapan yang dipersetujui dalam mesyuarat khas antara mereka di
bangunan Parlimen.
Mohamed
Azmin dilaporkan berkata, persetujuan yang gagal dipatuhi itu
membabitkan jaminan Anwar supaya komposisi pembahas adalah adil dan
mewakili semua pihak, selain pembahas tidak dibenarkan menyinggung,
menyindir dan menyerang mana-mana pihak.
Mengulas
mengenai konflik yang berlaku ketika Kongres Nasional PKR , Ismail
berkata, rakyat pastinya boleh menilai siapa yang berpegang kepada
disiplin organisasi.
“Disiplin
organisasi adalah nombor satu. Di luar sana, rakyat mengikuti
perkembangan ini, jadi kita tidak boleh memandang rendah dengan
kebijaksanaan mereka.
“Kita
lihat ada dua puak berbeza, tetapi akhir sekali saya percaya orang dapat
menilai siapa yang berpegang dengan disiplin organisasi dan siapa
tidak,” katanya.
No comments:
Post a Comment