Oleh Azrul Hakimie Anuer
Apa istimewa kampung berkenaan banding penempatan lain di Perak
BANGI
– Kerajaan negeri Perak perlu menjawab persoalan mengapa hak pemilikan
kekal diberikan kepada tanah kampung baru Cina di negeri tersebut
sedangkan amalan ketika ini hanya memberikan pegangan pajakan.
Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi
Yusof berkata, sejak pindaan dilakukan terhadap Kanun Tanah Negara
sekitar tahun 1980an pemberian tanah sama ada kepada syarikat atau
milikan individu tidak lagi diberikan secara kekal.
Beliau berkata, selepas dipinda Perak termasuk beberapa buah negeri lain hanya memberi pegangan pajakan tanah selama 99 tahun.
“Dahulu memang pemberian tanah secara
pegangan kekal tapi melalui satu pindaan undang-undang kita telah
mengutamakan pendekatan pegangan pajakan.
“Kalau dilihat dari sudut keseragaman dan
kesaksamaan sepatutnya perkara ini juga turut berlaku kepada pemberian
tanah kampung baru (Cina) yang kita bincangkan itu,” katanya ketika
dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Sebelum ini, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr
Abdul Aziz Bari berkata, janji manifesto Pakatan Harapan (PH) Perak
boleh dilaksana kerana soal tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri
dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan atau melanggar ketetapan
Mesyuarat MTN.
“Mengikut Perlembagaan Persekutuan tanah
adalah bidang kuasa kerajaan negeri, dan MTN tidak mengambil alih kuasa
penuh negeri ke atas tanah serta hanya menetapkan soal dasar dan
terpulang kepada negeri-negeri untuk melaksanakan atau tidak.
“Jadi bukan soal keputusan hendak buat
atau tidak, bukan soal tuntutan DAP ia adalah tawaran PH Perak, ini yang
saya ingin tegaskan,” katanya.
Bagaimanapun, 13 Ogos tahun lalu, Menteri
Besar, Ahmad Faizal Azumu ketika menggulung perbahasan atas Titah
Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 menjelaskan bahawa
pihaknya tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak
milik kekal kepada kampung baharu itu kerana ia bercanggah dengan
Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, mesyuarat MTN pada 25
April 1997 menetapkan tempoh pegangan pajakan bagi kampung-kampung baru
tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99
tahun.
Dalam perkembangan lain, Dr Muhammad
Fathi turut mempersoalkan keputusan pemberian tanah selama 999 tahun
kepada tanah kampung baru Cina.
Katanya, apa perbezaan di antara tanah
kampung baru Cina diberi pegangan selama 999 tahun berbanding tanah
kampung baru lain yang hanya diberikan tempoh masa 99 tahun.
“Cumanya kita pelik kenapa wujud satu
keistimewaan yang luar biasa, kalau kerajaan ingin berikan hak milik
yang lama sepatutnya berikan sahaja dalam bentuk pegangan tetap. Kalau
nak laksanakan dasar itu biarlah dilaksanakan secara seragam.
“Jika sekiranya ada keistimewaan yang
diberikan kepada kampung baru itu kena kemukakan sebab dan mengapa
tempat lain tidak terima keistimewaan ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment