Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Kerajaan PH tidak bersungguh untuk mendaulatkan syariat Islam
BANGI– Sikap lepas tangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
Mujahid Yusof Rawa yang kononnya mendakwa ada pihak cuba menyerang
kerajaan dengan isu peragaan tatu dalam keadaan separuh bogel pada
program ‘Tattoo Malaysia Expo 2019’ amat dikesali.
Mujahid sebelum ini dilaporkan berkata,
program itu bukan di bawah kendalian kerajaan dan tidak pernah mendapat
pengiktirafan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Penafian daripada kementerian itu
membuktikan kita tidak pernah menyokong program itu. Cuma, saya fikir
dalam hal ini, pihak tertentu sekali lagi dan buat sekian kalinya
menjadikan isu ini untuk menyerang kerajaan. Kononnya dulu tak pernah
berlaku tapi sekarang berlaku.
“Sedangkan kita tidak ada kena mengena
dengan apa yang berlaku dan sengaja disebarkan dalam media seolah-olah
kitalah yang merencanakannya. Jadi, dengan itu naratif mereka tercapai.
Apa naratif mereka? Kerajaan hari ini tidak menjaga Islam dan
sebagainya,” kata Mujahid.
Kesal dengan kenyataan menteri agama itu,
Ahli Jawatankuasa Pusat Tarbiyah, gerakan Islam, Ikatan Muslimin
Malaysia (Isma), Ustaz Omar Kassim berkata, hampir tidak percaya
kenyataan sebegitu boleh keluar dari mulut seorang menteri yang
bertanggungjawab menjaga agama Islam di negara ini.
Beliau berkata, Mujahid sepatutnya
melihat kelemahan penguatkuasaan yang ada di pihak kementerian atau
undang-undang negara berbanding membuat tuduhan.
“Menteri itu bersikap lepas tangan tanpa
memberikan teguran tegas apatah lagi memanggil pihak terbabit.
Seolah-olah menyatakan berbogel, berzina dan berparti boleh selagi dalam
keadaan tertutup walapun kerajaan boleh halang,” kata Ustaz Omar kepada
Ismaweb.
Bahkan beliau menyifatkan, tiada
kesungguhan daripada kerajaan PH untuk mendaulatkan syariat Islam
apabila tidak bertindak menghalang ‘majlis maksiat’ seperti itu.
“Memetik hadis, sesiapa yang melihat
suatu kemungkaran, hendaklah dia cegah dengan tangannya dalam erti kata
kekuasaan, jika dia tidak mampu, dengan lidahnya, jika tidak mampu
dengan hatinya. Itulah selemah iman. Saya nak tanya, siapa yang memiliki
kuasa sekarang?,” soalnya.
Terdahulu tular gambar-gambar lelaki dan
wanita bertatu separuh bogel yang menyertai ekspo bertaraf antarabangsa
itu. Ekspo itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Seni dan
Budaya (MOTAC) seperti yang tertera di layar belakang pentas.
Penganjuran ekspo terbabit menghimpunkan
peserta dari 35 negara berbanding penganjuran pada tahun 2015, 2016 dan
2017 yang diadakan di Sabah sebelum ini.
No comments:
Post a Comment