Melayu hanya akan jadi penumpang tiada maruah jika tak bersatu
BANGI
– Pemuda gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menggesa rakyat
Malaysia, khususnya orang Melayu selaku tulang belakang kestabilan
negara ini, untuk segera bersatu dalam menegaskan identiti Malaysia
sebagai negara Islam.
Exco Penerangan Pemuda Isma, Muslim
Abdullah Zaik membangkitkan perkara itu susulan bimbang dengan
kedaulatan negara, apabila ada pemimpin di pihak kerajaan kini dikaitkan
dengan isu pengganas komunis dan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil
Eelam (LTTE).
Sebelum ini, dua ADUN dari parti paling
dominan dalam Kerajaan Malaysia, DAP ditahan kerana didakwa atas
pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE.
Terbaharu, pemimpin dari parti itu,
Ronnie Liu pula dilaporkan hadir ke perhimpunan bekas anggota Parti
Komunis Malaya (PKM), di sebuah kolej swasta di Kajang, Ahad lalu.
Perhimpunan itu kononnya untuk
memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang
ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.
Bimbang dengan keberadaan mereka dalam
kerajaan, Muslim menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya
bertindak tegas dan menghukum pihak-pihak terbabit tanpa berkompromi dan
tunduk kepada desakan politik.
Beliau berkata, dalam menangani isu ini,
pemimpin Melayu sama ada dalam blok pemerintah mahupun pembangkang perlu
bersama-sama ke depan mendesak kerajaan untuk bertindak tegas.
Katanya, pemimpin perlu bermaruah dalam
menyatakan pendirian dengan mengambil kira kepentingan umat Islam secara
umum, bukan hanya kepentingan survival parti sahaja.
“Orang Melayu perlu berpolitik secara
matang, dengan cara melahirkan kekuatan orang Melayu dalam membentuk dan
menetapkan pembentukan negara.
“…sekiranya kita meninggalkan kesatuan
sesama kita, masa depan tanah ini akan ditentukan oleh orang lain dan
kita hanya akan jadi penumpang yang tiada maruah dan hina,” katanya.
No comments:
Post a Comment