Sunday, April 21, 2019

Daulah terpendam sabotaj PH

Hisahamuddin Rais
 
   
Saya telah beberapa kali menulis tentang daulah terpendam. Saya bertanggung jawab memelayukan konsep ‘deep state’ kepada daulah terpendam. Pada awalan ketika saya menulis tentang daulah terpendam ramai menuduh Hishamuddin Rais adalah penganut mazhab teori konspirasi.

Perkataan konspirasi ini menjadi pop di Malaysia apabila Anwar Ibrahim dibuang dari kerajaan Barisan Nasional dan ditangkap kerana meliwat pada 20 September 1998.

Maka para penyokong Anwar mentakrifkan ini satu konspirasi untuk menjatuhkan Anwar yang ketika itu ialah Timbalan Presiden United Malays National Organisation.

Justeru perkataan konspirasi telah dipopularkan. Pada hemat saya makna konspirasi telah difahami umum.

Konsep konspirasi ini juga ada kait mengait dengan daulah terpendam. Walap pun perkataan dan konsep daulah terpendam agak baru diperkenalkan kepada kita semua.

Niat jahat sabotaj

Media dunia mula menghebohkan konsep ‘deep state’ apabila merujuk kepada politik Mesir sesudah kejatuhan Presiden Mubarak pada 11 Febuari 2011.

Warga Mesir telah menobatkan Morsi sebagai presiden pada 30 Jun 2012 untuk mengganti Mubarak. Tentera melakukan rampasan kuasa pada 3 Julai 2013. Morsi telah ditangkap.

Kini bekas presiden Morsi dalam penjara dengan ancaman hukum gantung. Media melaporkan bagaimana presiden Morsi yang belum sampai satu tahun menjadi presiden telah dijatuhkan oleh konspirasi daulah terpendam.

Ini sama seperti kerajaan PH yang hampir setahun menjadi kerajaaan - tiba-tiba Menteri Luar Saifuddin Abdullah membocorkan tentang wujudnya ‘deep state' yang sedang berkonspirasi dengan niat jahat mensabotaj kerajaan muda PH.

Pasti orang ramai akan bertanya apa dia daulah terpendam ini? Dan siapa dia daulah terpendam yang cuba mensabotaj PH.
Saya sedar mengenai kewujudan daulah terpendam apabila saya mengambil bahagian dalam gerakan reformasi untuk menjatuhkan Mahathir Muhamad dan United Malays National Organisation.

Pada awalan apabila Anwar Ibrahim dipecat demonstrasi telah berjalan secara spontan. Kemudian beberapa kumpulan reformasi merancang untuk terus mengadakan demonstrasi. Kali ini dirancang, diatur dan disusun.

Saya terlibat dalam gerakan reformasi bersama Zunar, Tian Chua, Latheefa Koya, Pak Din, Nora, Malik Husin, Nasir dan arwah Tan.

Dalam salah satu perbincangan saya timbulkan bagaimana saya melihat ada satu corak kerja yang tersusun bila mana setiap kali kami bergerak untuk melakukan aksi Mahathir akan mengeluarkan kenyatan lebih awal dari tindakan kami. Contoh terbaik ialah apabila saya cadangkan kempen Nyah Mahathir.

Tiba-tiba belum pun sempat kami umumkan Mahathir telah mengeluarkan kenyataan - Nyah Ezam. Ini tindakan bijak dari musuh.

Babak Nyah Ezam ini menjadi guru saya. Saya cukup yakin selain daripada polis cawangan khas pasti ada lagi sosok-sosok yang membantu Mahathir untuk berfikir dan mencari jalan untuk mematahkan gerakan kami.

Dari pengalaman, saya anggap cawangan khas (SB) hanya pejalan kaki mengumpul maklumat.
Penganalisa maklumat - yang berfikir - sosok ini tidak pernah muncul di hadapan khalayak - inilah yang saya anggap sebagai sebahagian dari daulah terpendam.

Bukan sandiwara

Mari kita tengok satu lagi kes klasik daulah terpendam berlaku pada tahun 2000. Tiba-tiba pada pagi 3 Julai 2000 - Malaysia gempar dengan satu kejayaan rampasan senjata di Bukit Jenalik, Sauk, Kuala Kangsar.

Dilaporkan media bagaimana anggota kumpulan Al-Maunah telah berjaya merampas 5 tan senjata dimuat masuk ke dalam tiga buat Pajero dalam masa 15 minit sahaja.

Cerita tiga Pajero ini dianggap tak masuk akal. Mustahil lima tan senjata dapat dimasukkan ke dalam Pajero dalam masa 15 minit. Tak ada siapa yang percaya.

Oleh kerana itu, Najib yang menjawat menteri pertahanan ketika itu terpaksa mementaskan sekali lagi sandiwara 15 minit ini di Kuala Lumpur. Ini dengan tujuan untuk meyakinkan orang ramai bahawa rampasan senjata itu bukan sandiwara.

Tetapi pada hemat saya ada yang perkara lebih penting. Perkara ini ialah memerhati rapi dan menganalisa kerja daulah terpendam melalui tajuk-tajuk akhbar arus perdana pada pagi 3 Julai 2000.

Terpampang induk berita - Kumpulan Al-Maunah Melawan Agong.

Untuk saya - tuduhan melawan Agong - ini adalah perancangan daulah terpendam untuk menyelamatkan Mahathir. Ketika itu Mahathir amat dibenci oleh bani Melayu.

Mahathir sedang berhadapan dengan demonstrasi anjuran gerakan reformasi dan penyokong Anwar Ibrahim.

Rasmi, tak rasmi

Gerakan rakyat popular dikalihkan - bukan menentang Mahathir tapi menentang Agong. Bijak cara kerja musuh. Amin.

Justeru saya nyatakan di sini bahawa daulah terpendam bukan satu dua sosok.

Ianya rasmi dan tidak rasmi. Ianya memiliki ketua dan tidak ada ketua. Daulah terpendam adalah organisasi tanpa bentuk. Daulah terpendan wujud - tanpa ‘command control’ yang rasmi.

Jika tanpa bentuk bagaimana ianya bergerak. Kalau tanpa ketua siapa memberi arahan. Untuk memahami ini kita wajib tahu apa itu daulah atau state. 

Raja Peranchis, Louis ke-14 ( 1638-1715) pernah berkata,"Le’etat, c’est moi" - beta ialah daulah. Ayat ini tepat ketika pemerintahan raja mutlak. Tapi hari ini sistem raja mutlak telah dihapus. Yang tinggal hanya keruping-keruping feudal.

Daulah hari ini adalah jentera kerajaan yang berkuasa. Mereka terdiri daripada pegawai tadbir, penjawat awam, tentera, polis, mahkamah, jabatan agama dan dan dan. Semua ini adalah sebahagian dari jentera daulah. Semua sosok yang terlibat dalam jentera daulah memiliki kepentingan.

Kepentingan inilah yang mengikat jentera, sosok dan individu untuk memastikan daulah terus wujud tanpa diganggu gugat. Apa bentuk kepentingan yang mengikat semua ini. Jawabnya - ekonomi - fulus, dolar, dinar dan ringgit.
Bila bercakap tentang ekonomi maka kita tidak dapat melarikan diri daripada kaum pemodal. Dalam sistem ekonomi kapitalis yang diguna pakai di Malaysia kaum pemodal memainkan peranan yang amat penting.

Malah - jangan terperanjat jika saya katakan di sini bahawa kaum pemodal adalah juga sebahagian dari daulah terpendam. Malah di belakang daulah terpendam ini ialah kaum pemodal.

Kaum pemodal mahu mempertahankan kepentingan perniagaan mereka. Justeru mereka akan memastikan para politikus, para menteri akan menjalankan dasar yang menjaga dan melariskan kepentingan kaum pemodal.

Garis bawah kaum pemodal - untung maksima - wajib terus dipertahankan. Kaum pemodal akan melabur.

Di belakang politikus atau menteri pasti ada cukong daripada kaum pemodal. Dalam politik pilihan raya - para politikus memerlukan dana untuk berkempen dan mencari sokongan.

Maka dari sinilah kaum pemodal dan para cukong mara ke hadapan melabur untuk masa depan syarikat dan kontrak mereka.

Pemodal bersama daulah terpendam

Perkara ini bukan hanya berlaku di Malaysia. Di mana-mana negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis, modus operandi kaum pemodal adalah sama. Kaum pemodal akan bersama daulah terpendam.

Contoh terbaik - lihat bagaimana pentadbiran Presiden Donald Trump masih terumbang ambing.

Pentadbiran Trump tidak pernah selesa. Media menyerang Trump. Pegawai dan pembantu Trump satu demi satu meletak jawatan.

Media terus menekan dan membuat pelbagai bentuk berita betul dan berita dongeng.

Hakikatnya di belakang semua ini ialah daulah terpendam. Daulah terpendam Amerika Syarikat merasa tidak selesa dengan pentadbiran Trump. Kenapa tidak selesa. Apa silap Trump.

Silap Trump ialah dia bercita-cita mahu memperbaiki hubungan dengan Rusia. Trump mahu mengurangkan bala tentera Amerika yang berkeliaran di merata pelusuk dunia. Trump mahu Eropah mengeluarkan dana sendiri bukan hanya berlindung di bawah ketiak Nato.
Lembaga ketenteraan Nato ini dibiayai oleh Amerika. Trump mahu menggunakan dana yang dapat diselamatkan dan dijimat untuk memperbaiki jambatan dan jalan yang runtuh rantah di Amerika.
Trump mahu menghidupkan kembali ekonomi Amerika. Untuk umum - dasar dan cadangan Trump ini masuk akal.

Tetapi daulah terpendam Amerika memiliki pandangan yang lain. Daulah terpendam mahu Rusia terus menerus dijadikan musuh. Perang di Afghanistan, Syria dan Iraq wajib diteruskan. Pengkalan tentera Amerika wajib terus beroperasi di seluruh dunia.

Tanpa Rusia sebagai musuh pemilik industri senjata merasa terancam. Untuk kaum pemodal perang adalah perniagaan. Justeru pemilik industri senjata bersama kaum pemodal yang lain menjalankan kempen nyah Trump.

Kempen ini dijalankan oleh daulah terpendam dengan sokongan gelap dari lembaga risikan CIA.


Hakikatnya daulah terpendam wujud dalam setiap negara. Hakikatnya daulah terpendam ialah daulah gelap di dalam daulah. Ianya wujud selari dalam kerajaaan.

4 warga lesap

Kita kenal siapa menteri, siapa ketua setiausaha negara atau siapa setiausaha jabatan atau siapa pengarah lembaga itu dan lembaga ini. Tetapi mustahil kita akan mengenal siapa dia daulah terpendam yang sedag bergerak mensabotaj kerajaan PH.

Mari kita ulang baca berita Suhakam yang baru selesai mendengar kes hilang lesap empat warga Malaysia.

Kes ini dianggap pelik lagi memelikkan. Hilang lesapnya pastor Raymond Koh, paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Hilmy serta aktivis Amri Che Mat. Hilmy dan isteri hilang pada tahun 2016.
Pastor Koh pula pada 13 Febuari 2017, manakala Amri pada bulan November 2016.

Daripada apa yang kita semua faham jelas menunjukkan bahawa di belakang kehilangan empat warga ini ialah daulah terpendam.

Mungkin ini tuduhan liar lagi menghasut daripada Hishamuddin yang sentiasa antikerajaan.

Tidak. Ini bukan tuduhan. Sila buka YouTube dan lihat klip bagaimana kereta Pastor Koh ditahan dan dia diculik.

Ini bukan kerja Mat Pet Kampung Baru. Ini bukan kerja geng Sudin Tinju Kampung Pantai Dalam.

Ini bukan kerja Geng 24 atau Geng 36. Lihat klip itu dengan teliti.

Ini kerja daulah terpendam. Apa niat. Apa tujuan penculikan ini? Tunggu minggu hadapan.


*HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.


No comments: