Sunday, April 28, 2019

Kerajaan dipandu kehendak 'busa Bangsar'


   

ULASAN | Pada Julai 2018 iaitu beberapa bulan setelah PH memenangi PRU ke-14, saya menyatakan kebimbangan kerana agenda reformasi kelihatan terlalu banyak dipacu oleh mereka yang berada dalam keselesaan.

Saya gelarkan mereka itu sebagai golongan yang berada dalam "Bangsar bubble" (busa Bangsar) sebagai perumpaan kehidupan mereka yang lebih senang berbanding majoriti rakyat Malaysia.

Hari ini saya gembira kerana kebimbangan tersebut disahut oleh Anwar Ibrahim yang dilaporkan berkata, kerajaan PH terlalu dipengaruhi oleh golongan elit bandar.

Mereka itulah juga kelompok yang saya katakan sebagai kelompok yang hidup dalam "busa Bangsar".

Mereka memfokuskan hampir semua tuntutan reformasi kepada reformasi institusi. Mereka bercakap mengenai hak asasi manusia, kebebasan kehakiman, kebebasan media, statut-statut antarabangsa, reformasi syarikat berkaitan kerajaan, dan lain-lain.

Sedangkan kita yang terlibat dengan politik akar umbi setiap hari berdepan dengan rakyat yang mengeluh mengenai kos sara hidup, jurang kemiskinan, harga getah, padi dan kelapa sawit, dan sebagainya.

Ringkasnya, golongan "busa Bangsar" - yang hidup senang - lantang membuat tuntutan. Tetapi hidup mereka terpisah daripada warga kampung di Arau dan Pendang yang hidup susah dan tiada suara.

Padahal majoriti besar rakyat Malaysia sebenarnya hidup di luar lingkaran "busa Bangsar" itu. 

Pendapat serta sokongan merekalah yang menentukan populariti kerajaan PH hari ini.

Saya menyeru rakan-rakan yang menjadi pemimpin kerajaan agar kembali memberi fokus kepada keperluan asasi rakyat biasa.

Rakyat biasa yang mengundi perubahan perlu dibantu. Kontraktor kecil dan usahawan desa yang mendukung perubahan perlu disokong. Aktivis reformasi yang berhempas pulas membawa perubahan perlu dijaga kebajikannya.

Benar, reformasi institusi itu penting. Dan masa yang lebih panjang diperlukan untuk rakyat menikmati kemanisan hasil daripada reformasi institusi.

Tetapi keutamaan kita mestilah betul. Kebajikan dan kesusahan rakyat harus menjadi keutamaan pertama kita. Jika penumpuan terlalu banyak kepada reformasi institusi sehingga nasib rakyat marhaen hari ini kita terlepas pandang, itu tandanya kita terlalu terpengaruh dengan pemikiran dari kelompok "busa Bangsar".

Saya juga menyeru rakan-rakan dalam kelompok elit bandar agar bersama-sama menyertai kami yang bergerak di peringkat akar umbi.

Masih ramai rakyat yang perlukan pelbagai bentuk bantuan. Jika kita biasakan diri turun ke peringkat akar umbi, barulah kita sedar betapa besarnya jurang ketidaksamarataan dalam negara kita. Dan selepas itu insya-Allah kita akan dapat sama-sama menyusun keutamaan yang selaras dengan keutamaan rakyat.


WAN SAIFUL WAN JAN ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.


No comments: