Jamuan makan, hadiah untuk pengaruh pengundi adalah salah: SPR
BANGI
– Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan calon atau parti supaya
tidak menyalahgunakan aset dan kuasa kerajaan untuk meraih undi
sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.
Pengerusinya,
Azhar Azizan Harun turut menegaskan bahawa sebarang aktiviti kempen
seperti jamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah, sama ada di
dalam bentuk kewangan atau wang untuk mempengaruhi pengundi memberikan
mahu pun tidak memberikan undi, adalah kesalahan di bawah Akta Kesalahan
Pilihan Raya 1954.
Beliau
berkata, sebarang tindakan atau kenyataan yang menganggu pengundi
daripada menjalankan hak pemilihannya secara bebas juga adalah satu
kesalahan di bawah akta sama.
“Semua
pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen pada PRK Parlimen Sandakan
diingatkan agar sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan
etika pilihan raya sepanjang tempoh kempen yang bermula selepas
pengisytiharan calon pada 27 April 2019 sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei
2019.
“Calon-calon
dan juga pihak yang terbabit di dalam aktiviti berkempen hendaklah
berkempen secara berhemah dan mengikut etika kempen yang menjamin
keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azhar
berkata, semua arahan pihak yang berkuasa, terutama daripada SPR,
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia
(PDRM) hendaklah sentiasa dipatuhi.
Katanya,
mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau keterangan mengenai
pelanggaran undang-undang oleh mereka yang terbabit di dalam aktiviti
kempen, disarankan untuk melaporkan perkara berkenaan kepada pihak
berkuasa.
“Sehubungan dengan ini, apa-apa perbuatan yang membabitkan amalan rasuah haruslah dilaporkan kepada SPRM.
“Manakala
bagi kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau
di bawah Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada PDRM,” katanya.
Beliau
sekali lagi mengingatkan bahawa sebarang bentuk kempen atau aktiviti
merayu undi adalah dilarang pada hari mengundi, termasuklah melalui
saluran media sosial.
“Kesemua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyenggarakan pejabat atau barung semasa hari mengundi.
“SPR
berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen
pilihan raya di PRK tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan
raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.
No comments:
Post a Comment