INKUES | Mahkamah
Tinggi di Shah ALam hari ini membenarkan permohonan pegawai pengendali
inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim untuk memanggil
semula seorang saksi pakar iaitu saksi ke-24 bagi prosiding berkenaan.
Hakim Indera Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu setelah mendapati Mahkamah Koroner Shah Alam terkhilaf dalam keputusannya sebelum ini yang menolak permohonan pegawai pengendali prosiding inkues berkenaan untuk memanggil semula saksi pakar tersebut.
"Saya dapati bahawa berlaku kekhilafan oleh Koroner iaitu beliau mengambil kira titik-titik (prosiding) tidak akan berakhir (jika saksi ke-24 dipanggil).
"Saya bersetuju dengan permohonan pihak pengendali dan hanya saksi pakar ke-24 diberi peluang untuk dipanggil semula untuk memberi penjelasan dan keterangan," katanya.
Jelas Ab Karim, pihaknya berpendapat inkues tersebut tidak mungkin tiada penghujungnya kerana inkuiri itu dikawal oleh Koroner malah ia bertujuan bukan untuk menuduh mana-mana individu sebaliknya bagi menentukan punca sebenar kematian Muhammad Adib.
Terpakai pada saksi ke-24 saja
“Berdasarkan apa (maklumat) yang diberi, tidaklah boleh koroner memutuskan sudah cukup kerana ada perkara baru yang perlu diperjelaskan oleh saksi ke-24. Koroner harus mempertimbangkan pelbagai aspek dan tidak boleh meninggalkan satu pun, sama ada ia beri impak kuat atau tidak kepada keputusan.
“Maka, adalah perlu untuk diberi peluang kepada saksi tersebut bagi memberikan penjelasannya. Ini (keputusan) terpakai kepada saksi ke-24 sahaja,” katanya yang turut menetapkan 10 Mei ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Koroner.
Pada 23 April lepas, pegawai pengendali inkues memfailkan semakan ke Mahkamah Tinggi di sini bagi memanggil semula saksi ke-24 dan ke-27 untuk memberi penjelasan dan keterangan selepas permohonan mereka di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ditolak dalam prosiding berkenaan.
Semakan untuk memanggil semula saksi itu adalah disebabkan terdapat pertikaian pendapat antara dua pakar berhubung mekanisme kecederaan yang dialami Muhammad Adib yang membawa kepada kematiannya.
Terdahulu dalam prosiding permohonan itu, pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah memberitahu mahkamah kemungkinan Koroner terkhilaf dalam keputusannya sebelum ini apabila tidak bertanya lanjut kepada pihaknya jika terdapat saksi lain yang hendak dipanggil setelah mendengar keterangan saksi ke-29 iaitu bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid (gambar).
“Saksi ke-29 adalah seorang lagi pakar patologi yang
dipanggil oleh peguam keluarga mangsa dan Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
(JBPM) yang mana beliau mempunyai keterangan berbeza dengan saksi ke-24.
Bagaimana pula saksi ke-29 boleh membuat dapatan fakta itu? Ini perlu diberi penjelasan oleh saksi ke-24,” katanya.
Tiada keperluan mahkamah bertanya
Hamdan dalam hujahannya turut berpendapat Mahkamah Koroner perlu mengumpul seluruh maklumat dan mendengar penjelasan lanjut oleh saksi ke-24 berhubung keterangan yang diberikan oleh saksi ke-29.
“Perkara ini penting memandangkan terdapat beberapa perkara tidak ditimbulkan oleh saksi ke-24 tapi telah dikomen oleh saksi ke-29 dan mengatakan dapatan saksi ke-24 tidak betul,” katanya.
Sementara itu, peguam keluarga mangsa, Mohd Kamaruzaman A Wahab memberitahu mahkamah bahawa kesemua saksi telah memberi keterangan dan tiada keperluan kepada mahkamah untuk bertanya kepada pegawai pengendali sekiranya ada saksi lain untuk dipanggil.
Katanya, sebanyak tiga saksi pakar telah dipanggil sepanjang prosiding berlangsung yang mana kesemua mereka adalah untuk membantu mahkamah membuat keputusan.
Peguam Syazlin Mansor mewakili KPKT, JBPM dan keluarga mangsa dalam hujahannya pula menyatakan Koroner ada bertanya kepada pegawai pengendali tujuan memanggil semula saksi berkenaan memandangkan beliau telah memberi keterangan mengenai dapatan saksi ke-29 itu.
“Kalau ada fakta baharu, kami tidak akan bantah (untuk memanggil semula saksi ke-24), tapi ini tiada fakta baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Kamaruzaman yang ditemui pemberita selepas prosiding berkenaan menyatakan pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu minggu depan.- Bernama
No comments:
Post a Comment