Thursday, April 25, 2019

MB Johor: Ini exco pilihan saya, bukan tim Muhyiddin

MALAYSIAKINI

   

Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal hari ini menafikan wakil rakyat yang dipilih menjadi barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO) baru-baru ini adalah ‘pasukan’ Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, kesemua 10 Exco itu merupakan pilihannya sendiri, untuk melaksanakan aspirasi kerajaan PH demi kebaikan rakyat Johor dan mengulangi bahawa kesemua exco dipilih, adalah satu pasukan yang beliau selesa bekerja, dan percaya mereka boleh melaksanakan tanggungjawab membela rakyat dengan baik.

“Sebetulnya, untuk kita membela rakyat, tiada team pun. Cuma pasukan exco yang ada di keliling saya ini, 10 Exco yang ada ini merupakan satu pasukan yang saya selesa bekerja dengan mereka.

“Tujuan (mereka dilantik) untuk kita untuk menjaga rakyat Johor inilah, jadi tiadalah tim A, tim B ni,” kata beliau dalam satu temubual khas di pejabatnya di Kota Iskandar, di Iskandar Puteri hari ini.

Dr Sahruddin berkata dengan ada pasukan baru ini, dan dengan kerjasama dengan semua penjawat awam di negeri ini, antara lain adalah untuk memastikan bangsa Johor iaitu rakyat negeri ini mengecapi keadaan yang aman serta ekonomi yang baik, sekali gus menjadikan taraf hidup mereka lebih baik.

“Inilah team saya, untuk membela nasib rakyat. Sepuluh Exco itulah team saya, untuk membela rakyat,” kata Dr Sahruddin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepong itu.

Persoalan campur tangan istana

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa ada antara exco baru yang dipilih merupakan “Team Muhyiddin” sehingga turut menimbulkan persoalan terdapatnya campur tangan dari Istana.

Dr Sahruddin, yang dilantik menjadi menteri besar Johor ke-17 pada 14 April lalu, mengumumkan barisan exco Johor yang baru dua hari lepas (Isnin), menyaksikan dua exco lama digugurkan manakala tiga exco baru dilantik.

Beliau menggantikan Osman Sapian yang meletakkan jawatan sebagai menteri besar pada 8 April lepas.
Dua exco lama yang digugurkan ialah Adun Skudai Tan Hong Pin dan Adun Puteri Wangsa Mazlan Bujang manakala tiga exco baru adalah Adun Bukit Permai Tosrin Jarvanthi, Adun Tenang Mohd Solihan Badri dan Adun Jementah Tan Chen Choon.

Ketika ditanya mengenai bagaimana dirinya akan berperanan dalam menyeimbangkan hubungan antara kerajaan persekutuan dan Istana terutama dalam menangani beberapa isu berkaitan, Dr Sahruddin berkata beliau berharap hubungan baik yang terjalin diharap dapat mengharmonikan hubungan kedua-duanya.

“Pertamanya, saya menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar agar melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, jujur, ikhlas dan amanah serta tidak mengutamakan kepentingan diri atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi Johor,” kata beliau.

Dr Sahruddin menambah, di atas keprihatinan Sultan Ibrahim, hubungan erat antara istana dan rakyat terjalin.

“Sebetulnya perlu ada semak dan imbang. Keseimbangan antara kerajaan persekutuan dan pihak istana.

“Insya-Allah, segala isu saya akan cuba selesaikan dengan baik,” kata beliau.- Bernama



No comments: