Sunday, April 21, 2019

AUDIO | Komplot singkir MB Perak mungkin benar, mungkin tidak

ISMA WEB

Aziz Bari wakil rakyat DAP nafi audio yang tersebar membabitkan beliau


IPOH– Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan rakaman audio yang dikatakan berhubung komplot menjatuhkan beliau adalah satu perkara yang belum dibuktikan kesahihannya.

Katanya, mengambil kira kecanggihan teknologi sekarang, segala kemungkinan boleh berlaku.

“Dalam dunia sekarang ini macam-macam boleh berlaku, mungkin audio itu palsu, mungkin benar. Perkara itu (audio) belum dibuktikan…,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata desas-desus usaha menjatuhkan beliau juga bukanlah suatu yang menghairankan.

“Banyak pihak cuba menjatuhkan saya sejak hari pertama lagi (menjadi menteri besar), tapi saya masih lagi menteri besar,” katanya, menambah pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa.

Kelmarin, rakaman audio berdurasi empat minit 22 saat itu tular menerusi media sosial.

Rakaman audio itu dikatakan suara seorang Ahli Dewan Undangan Negeri, malah ada yang mengaitkannya dengan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari.

Bernama melaporkan Abdul Aziz menafikan perkara berkenaan.

Video Player
00:00
04:22

Komplot menjatuhkan Ahmad Faizal mula merebak sejak November tahun lalu, selepas Armada Bersatu Perak mendesak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) menyiasat dakwaan ada Ahli Exco berkomplot dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang untuk tujuan itu.

Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan jika benar tindakan tegas mesti diambil terhadap pihak terbabit dengan memecat atau menggugurkannya dari Exco kerajaan negeri selain tindakan disiplin diambil oleh kepimpinan parti.

Katanya, tindakan mempermainkan rakan-rakan PH dengan berkomplot bersama Adun pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat adalah suatu perbuatan yang tidak boleh dikompromi sama sekali.


No comments: