Selasa, 12 Februari 2019

Menjelang PRK Semenyih, Muhyiddin umum peruntukan untuk polis

 

  •   
    Menjelang PRK Semenyih kira-kira dua minggu lagi, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin hari ini membangkitkan usaha kerajaan dalam menambah baik infrastruktur dan kebajikan polis.

    Dalam lawatan kerja di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Semenyih hari ini, Muhyiddin mengumumkan sejumlah peruntukan untuk polis di Semenyih dan Kajang.

    Ia termasuk peruntukan RM1.4 juta bagi penyelenggaraan ibu pejabat polis daerah (IPD) Kajang, serta balai polis di Kajang, Semenyih, Beranang dan Cheras.

    Beliau juga mengumumkan peruntukan kepada Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Kajang dan PGA Semenyih, masing-masing sebanyak RM20,000.

    "Sebelum sampai ke sini, ada bisik di telinga saya - jangan lupa Perkep. Jadi saya luluskan peruntukan RM20,000 untuk Perkep IPD Kajang dan PGA Semenyih," katanya.

    Sejumlah RM300,000 lagi untuk penyelengaraan bangunan, aset dan sistem teknologi komunikasi dan maklumat di PGA Semenyih, katanya lagi.

    Secara keseluruhan, menurut Muhyiddin, kerajaan meluluskan 127 projek bernilai RM3.087 di seluruh negara, dengan RM100 juta daripadanya untuk menambah baik 12,409 unit kuarters polis, dan RM100 juta untuk membaiki 226 lif.

    Beliau juga berkata kerajaan merancang untuk membina pejabat Unit Tindakan Khas di sebelah bangunan PGA Semenyih, yang siap pada 2011.

    "Merujuk kepada permohonan PGA di sini untuk peruntukan RM13.8 juta bagi penyelenggaraan dan penambahbaikan kuarters, logistik, aset dan kebajikan, kementerian akan menelitinya secara terperinci.

    "Apa pun keputusan, saya menyokong penuh agar dibuat penambahbaikan yang diperlukan di sini," katanya lagi.

    'Tak langgar etika'

    Bagaimanapun tidak jelas sama ada peruntukan yang diumumkan itu tersenarai dalam Belanjawan 2019 atau baru.

    Ketika sidang media selepas kunjungannya, Muhyiddin tidak memberi jawapan jelas ketika ditanya sama ada beliau mengumumkan peruntukan baru untuk Semenyih - hanya berkata ia merupakan tanggungjawabnya selaku menteri.

    "Saya tak fikir ini melanggar mana-mana etika. Ini sebelum PRK... Malah ketika PRK saya akan menjelaskan dasar kerajaan."

    Penamaan calon PRK Semenyih pada 16 Februari ini dan kempen akan bermula selepas itu.

    DUN itu mempunyai 54,503 pengundi berdaftar, termasuk 951 pengundi awal dan 32 pengundi luar negara.

    PGA Semenyih mempunyai 570 anggota polis.


    Tiada ulasan: