Selasa, 5 Februari 2019

'Kalau menang di Semenyih, satu sen gaji saya tak ambil'


   
PRK SEMENYIH | Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai "uncle kentang" menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Presiden Kepolisan Masyarakat Malaysia (CP) itu berkata, keputusan terbabit diambil bukan untuk popular atau meraih kemenangan, sebaliknya mahu berkhidmat untuk rakyat.

Beliau turut menyatakan kekecewaan terhadap pemimpin politik yang hari ini lebih banyak "mengubah nasib diri sendiri" dan bukannya memperjuangkan kepentingan rakyat.

"Hidup kita sekejap saja, lepas ini saya akan mati, itu pasti. Tapi sebelum itu saya mahu
 berkhidmat untuk rakyat kawasan Semenyih."Saya bertanding untuk anak-anak Semenyih, mereka masih memerlukan pembelaan.

"Saya mahu lakukan apa yang saya buat di Puchong untuk penduduk Semenyih, teksi 10 sen, van jenazah percuma dan sebagainya.

"Kalau saya menang, satu sen gaji (sebagai wakil rakyat) tidak akan saya ambil. Itu gaji (milik) rakyat, gaji saya Tuhan akan bayar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

PRK Semenyih diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor baru-baru ini.
Allahyarham merampas kerusi itu daripada BN dalam pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

Selain PH dan BN, S Arutchelvan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga dijangka sekali lagi bertanding untuk kerusi tersebut.

Pada PRU14, Bakhtiar yang mewakili PH memenangi kerusi DUN itu dengan mendapat 23,428 undi berbanding pencabar terdekat dari BN, Johan Abdul Aziz yang memperoleh 14,464 undi dan calon PAS yang mendapat 6,966 undi.

Bakhtiar memenangi kerusi DUN Semenyih dengan kelebihan 8,964 undi.

Ikut cara Islam

Kuan berkata, dia kecewa dengan sikap segelintir pemimpin parti politik yang meninggalkan kawasan selepas menabur pelbagai janji.

Katanya, apa yang dilakukan beliau nanti adalah mengikut cara Islam dan akan terus berkhidmat kepada masyarakat selagi hayat dikandung badan.

"Kalau ikut cara Islam semua akan selamat, Islam ini untuk semua. Apa yang saya lakukan adalah mengikut cara Islam.

"Saya mahu apa yang saya lakukan ini menjadi contoh kepada pemimpin politik tanpa mengira mana-mana parti yang penting rakyat senang," katanya lagi.


Tiada ulasan: