Isnin, 4 Februari 2019

“Doakan saya pergi dalam keadaan husnul khatimah “

Syahril A. Kadir

Pelakon terkenal era 90an, Wafa Abd Kadir yang sedang bertarung dengan penyakit kanser tahap empat berdoa agar 'pergi' dalam keadaan husnul khatimah.
Pelakon terkenal era 90an, Wafa Abd Kadir yang sedang bertarung dengan penyakit kanser tahap empat berdoa agar 'pergi' dalam keadaan husnul khatimah.
 

KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal era 90an, Wafa Abd Kadir yang sedang bertarung dengan penyakit kanser tahap empat berdoa agar ‘pergi’ dalam keadaan husnul khatimah.

Anak kepada bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kadir Talip sebelum ini pernah dilaporkan mengidap kanser ovari dua tahun lalu.

Kini beliau berdepan kanser peritoneal yang jarang berlaku.

Berkongsi perkembangan terbarunya itu, Penasihat Agama dan Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Konsultan Perawatan Islam, Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar menyatakan pelakon yang beliau panggil dengan gelaran Kak Long itu itu pasrah menempuhi kehidupannya meskipun menahan kesakitan dan tidak berupaya untuk banyak bergerak.

“Petang tadi saya menghubungi Kak Long, daripada perbualan telefon dengannya, beliau memberitahu badannya sudah terlalu lemah. Beliau juga meminta agar didoakan yang beliau ‘pergi’ dalam keadaan dalam husnul khatimah.

“Saya mohon warga netizen, yang baik lagi mulia hatinya untuk sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT agar terus mengurniakan rahmat serta memandang kasih buat Kak Long,” kata Tuan Asmawi.

Wafa pada awalnya mendapat simptom kanser pada penghujung tahun 2014.

Beliau pernah berjumpa pakar tulang yang mengesahkan tiada punca daripadanya, lalu dia pergi mendapatkan pakar sakit puan.

Dari situlah beliau dikesan ada kanser ovari yang sudah merebak ke beberapa bahagian termasuk ovari, uterus dan saluran fallopian. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: