Ahad, 13 Januari 2019

Tengku Abdullah Sultan Pahang yang baharu

THE MALAYSIAN TIMES



PEKAN: Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Sultan Pahang keenam bagi menggantikan Sultan Ahmad Shah berkuatkuasa serta-merta.

Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang membuat pengumuman itu berkata, cadangan melantik Tengku Abdullah dibuat ekoran keadaan ayahanda Sultan Ahmad Shah yang kini berada dalam keadaan gering.

Baginda berkata cadangan untuk melantik Tengku Abdullah dikemukakan pada mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam setelah perbincangan diadakan di kalangan kaum keluarga dan dipersetujui sebulat suara.

“Dalam keadaan sedih, dan dukacita saya dan keluarga menerima hakikat bahawa paduka ayahanda saya tidak lagi boleh memikul tugas dan tanggungjawab sebagai raja pemerintah
“Menyedari keadaan ini, saya dan keluarga terdekat telah bersependapat untuk mencadangkan kepada Jumaah Pangkuan negeri supaya paduka kekanda saya Tengku Abdullah untuk dilantik sebagai pengganti kepada ayahanda Sultan Pahang,” katanya pada sidang media khas di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Salehuddin Ishak, Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Sultan Ahmad Shah, kerabat dan barisan pentadbiran negeri.

Tengku Abdul Rahman berkata berikutan itu Jumaah Pangkuan Diraja Pahang pada mesyuarat itu telah bersetuju meluluskan pindaan pada Bahagian 1 Perkara 9 A Undang-undang Tubuh Negeri Pahang untuk memberi kuasa kepada Jumaah Pangkuan Diraja Pahang untuk menurunkan takhta dari raja kerana kegeringan besar dan berat selepas disiasat, berkuatkuasa 11 Jan.

Katanya semasa pindaan itu dilakukan Sultan Abdullah selaku salah seorang ahli majlis berkenaan meninggalkan mesyuarat berkenaan untuk perkara itu dibincangkan dan selepas keputusan diambil ia telah dipersembahkan kepada baginda Sultan Abdullah untuk dipersetujui.

“Saya yakin paduka kekanda saya akan menjadi seorang Sultan yang cekap, cergas dan seadil yang tidak kurang daripada ayahanda saya… ayahanda saya mendidik baginda dengan memberi segala latihan, tunjuk ajar dan bimbingan dan telah menjalankan tugas sebagai Pemangku Raja Pahang,” katanya.

Selari dengan pelantikan itu, Sultan Abdullah bertitah supaya ayahanda baginda berdua, Sultan Ahmad Shah diisytiharkan sebagai gelaran Duli Yang Maha Mulia Ayahanda Sultan Ahmad Shah, katanya.—Bernama

Tiada ulasan: