THE MALAYSIAN TIMES
TANAH RATA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta dua calon bebas.
PH meletakkan Pengerusi DAP Pahang M Manogaran sebagai calon, manakala BN diwakili bekas pegawai kanan polis Datuk Mohd Ramli Nor.
Dua calon bebas, masing-masing anak jati Parlimen Cameron Highlands, ialah bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61 dan petani Wong Seng Yee, 40.
Kesemua nama calon diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ishak Md Napis kira-kira sejam selepas pusat penamaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah ditutup tepat pada pukul 10 pagi.
Sementara itu, Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas yang sebelum ini menyatakan hasrat bertanding, pada saat akhir mengumumkan di sebaliknya kepada pemberita dan menyatakan sokongan kepada calon PH serta Bebas, ketika hadir di pusat penamaan calon kira-kira pukul 9.30 pagi.
PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei 2018, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.
Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS/3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa/81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM/ 680 undi).
SPR juga menetapkan 13 Jan sebagai tarikh pengeluaran kertas undi pos, undi awal (22 Jan), semakan peti undi (25 Jan), manakala hari pengundian pada 26 Jan dan buat julung kalinya suruhanjaya itu akan menyiarkan lintas langsung proses penamaan calon, pengundian dan pengiraan undi di laman Facebook SPR (www.facebook.com/sprgovmy/) .
Parlimen Cameron Highlands mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanah Rata dan Jelai dengan jumlah keseluruhan pengundi yang layak memilih pada PRK kali ini seramai 32,009 orang termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir dan 385 pengundi kurang upaya.
PRK ini adalah yang kelima setelah PRU14 dengan tiga pilihan raya sebelum ini melibatkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor dan pilihan raya Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan