Selasa, 15 Januari 2019

Santamil mahu heret Shafee, Azeez ke prosiding hina mahkamah

 
   
Guru tadika A Santamil Selvi cuba mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memulakan prosiding komital terhadap peguam kanan Muhammad Shafee Abdullah, bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim dan seorang doktor.

Doktor yang dinamakan itu ialah Dr Ganesanathan Shanmuganathan yang berkhidmat di pusat perubatan swasta terkenal Hospital Pantai.

Permohonan itu berkaitan peranan ketiga-tiga defendan yang didakwa mencegah ahli perniagaan Deepak Jaikishian memberi keterangan dalam kesnya tahun lalu.

Ini berkaitan dua kenyataan pembelaan Deepak yang difailkan berhubung saman Santamil terhadap Deepak, bekas perdana menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor dan enam pihak lagi berkaitan kehidupan mereka di India selama lima tahun.

P Balasubramaniam, suami Santamil – seorang penyiasat persendirian yang telah meninggal dunia – telah membuat akuan berkanun berkaitan kes pembunuhan warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Santamil memfailkan permohonan mengheret ketiga-tiga pihak itu untuk prosiding menghina mahkamah pada November lalu.

Hakim Azimah Omar menetapkan 8 Mac untuk menyampaikan keputusannya selepas peguam Santamil, Americk Sidhu dan Manjeet Singh Dhillon, bertemunya dalam kamar.

Americk memberitahu pemberita selepas itu bahawa hakim mahukan penghujahan lanjut berkaitan kes itu dan menetapkan tarikh untuk pendengaran dan kemungkinan penyampaian keputusan.

Tiada ulasan: