Kemelut tunggakan gaji yang melanda Persatuan Bola Sepak
Pulau Pinang (FAP) membabitkan pemain dan pegawai badan itu selesai 80
peratus, kata presidennya, Dr Amar Pritpal Abdullah.
"Untuk Disember 2018, hasil bantuan kerajaan negeri, sebanyak 80 peratus tunggakan gaji pemain dan pegawai berjaya diselesaikan, meliputi pasukan Liga Premier, Piala Presiden dan juga Piala Belia," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan persahabatan pramusim Pulau Pinang menentang Persatuan Bola Sepak India Malaysia (Mifa), di Stadium Negeri Batu Kawan malam tadi.
Kata Amar, baki tunggakan sebanyak 20 peratus lagi adalah bagi tahun 2017 dan akan diselesaikan secepat mungkin.
"Untuk gaji 2017 pula adalah mereka yang tiada dalam senarai FAP, namun, kami akan cuba hubungi mereka dan pada masa yang sama Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) turut mahu FAP memanggil mereka jika boleh untuk mengadakan rundingan ekoran prestasi menurun dari Liga Super kepada Liga FAM.
“Kita pun faham akan situasi yang dihadapi oleh pemain yang mempunyai banyak komitmen dan kita nak selesaikan tunggakan itu secepat mungkin," katanya lagi.
Sementara itu, Amar amat optimis pasukan kendalian Ahmad Yusoff yang terdiri daripada 80 peratus muka baru untuk menduduki senarai pasukan kelima teratas dalam Liga Premier musim ini bagi tahun pertama.
Terdahulu, pasukan Pulau Pinang berjaya menjaringkan dua gol menerusi sepakan Kang Seung Jo dan Julian Bottaro masing-masing pada minit ke-50 dan ke-80, manakala Mifa meraih satu gol atas kesilapan penjaga gol Pulau Pinang, Syamim Othman pada minit ke-90.
"Dengan prestasi yang ditunjukkan malam ini, kita harap kombinasi antara pemain itu (akan) dapat ditingkatkan kerana mereka terdiri daripada pemain baru di samping telah banyak membuat persiapan dalam masa dua bulan ini.
“Kita turut berharap prestasi yang ditunjukkan ini akan berterusan seterusnya memberi kesan yang baik untuk FAP di samping dapat menarik lebih ramai penyokong Pulau Pinang supaya kembali semula ke stadium (untuk memberi sokongan)," katanya.
Menurut Amar lagi, pasukan Pulau Pinang kini lebih tertumpu ke kedua-dua pemain sayap kiri yang baru di samping memberi tumpuan kepada seorang lagi penyerang yang bakal diumumkan kelak.
"Barisan pemain memang ada tertumpu di sayap kiri pada kedua-dua pemain baru (warga tempatan Pulau Pinang) dan juga banyak posisi yang dibawa... dan ketika ini kita kekurangan satu lagi penyerang.
“Namun, setelah melalui beberapa proses, FAP telah menjumpai penyerang ini yang merupakan anak jati Pulau Pinang (sudah pun disenarai pendek) dan akan diumumkan dalam masa seminggu akan datang," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan