Selasa, 15 Januari 2019

Royalti minyak : Kelantan jumpa PM bincang semula bayaran

Bernama
 Datuk Ahmad Yakob
Datuk Ahmad Yakob


KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan berharap masalah pembayaran royalti minyak oleh kerajaan pusat dapat dilaksanakan tidak lama lagi, kata Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob.

Ahmad berkata, beliau bersama rakan sejawatnya dari Terengganu sudah bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membuat permohonan ulangan semalam.

Katanya, permohonan ulangan pembayaran royalti itu masih kekal seperti dahulu.

“Setakat ini kata putus daripada Menteri Kewangan sudah diberitahu untuk diberi secara tunai tetapi angka dan bila kita tidak tahu,” katanya pada sidang media selepas menandatangani perjanjian kerjasama pendidikan dengan Universit Ez-zitouna, Tunisia dengan Yayasan Islam Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Ahmad berkata, kabinet sebelum ini sudah bersetuju memberi royalti minyak kepada Kelantan secara tunai.

“Bagi kerajaan negeri, kita sudah mengemukakan fakta-fakta yang ada bukan daripada kita tetapi daripada Joint Development Area daripada Bunga Raya daripada semua lah…

“Kita tak tahu yang sebenar berapa kita dapat… itu terpulang kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mengenai proses tarik balik saman kerajaan negeri, Ahmad berkata ia dalam proses.

“Kita dengar esoklah laporan daripada LA (Penasihat Undang-Undang) proses yang sedang kita buat sebelum tarik balik saman…,” katanya. – Bernama


Tiada ulasan: