Mata wang kita sukar untuk kukuh berikutan perkembangan faktor luaran tidak menentu
KUALA LUMPUR
– Ringgit meneruskan penyusutan pada pagi ini untuk ditutup rendah
berbanding dolar AS hari ini susulan ketidaktentuan ekonomi luaran yang
menyaksikan pelabur beralih kepada mata wang lebih selamat, kata
peniaga.
Pada 6 petang, ringgit berada pada paras
4.1350/1390 berbanding dolar AS iaitu susut 50 mata asas daripada
4.1300/1350 sewaktu ditutup pada Isnin.
Seorang peniaga berkata, unit tempatan
itu berada dalam kedudukan terlebih jual dan dijangka menyaksikan
aktiviti peningkatan semula pada masa depan.
Beliau berkata, pedagangan juga masih
bersikap berhati-hati terhadap perkembangan ekonomi luaran semasa
termasuk data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan China yang jatuh
di bawah 50 mata pada Disember 2018 serta langkah penutupan membabitkan
agensi kerajaan Amerika Syarikat.
“Mungkin kalangan pelabur asing ini mahu
melihat nilai ringgit meningkat selepas menyaksikan aliran keluar dana
pada 2018. Bagaimanapun, sukar bagi ringgit untuk terus mengukuh
berikutan perkembangan faktor luaran yang tidak menentu,” katanya.
Sementara itu, ringgit juga kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lainnya.
Unit tempatan itu mengukuh berbanding
pound Britain kepada 5.2473/2540 daripada 5.2600/2684 pada Isnin namun
susut berbanding euro kepada 4.7275/7334 daripada 4.7227/7300, sebelum
ini.
Ia rendah berbanding dolar Singapura
kepada 3.0331/0371 daripada 3.0310/0358 dan susut berbanding yen Jepun
kepada 3.7950/7997 daripada 3.7658/7714 pada Isnin.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan