Kumpulan Melayu yang kononnya profesional tidak mewakili suara majoriti umat Islam yang mahu menentang usaha mensekularkan Malaysia
BANGI
– Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu
sederhana, hari ini membidas kenyataan Kumpulan Bekas Penjawat Awam
(G25) berhubung Kempen Malaysia Negara Islam yang dilancarkan baru-baru
ini.
Presiden Isma, Haji Aminuddin Yahaya
berkata, dakwaan G25 bahawa negara akan ‘jatuh’ sekiranya mengikut model
negara Islam jelas menunjukkan kumpulan itu buta dan jahil mengenai
sejarah Islam di mana sebuah empayar dan tamadun agung Islam telah
dibina dengan semangat Islam itu sendiri.
Saintis dan ilmuan daripada tamadun Islam
inilah yang menjadi asas kepada kemajuan dunia yang kita nikmati pada
hari ini, katanya.
Menyifatkan dakwaan G25 – sebuah kumpulan
yang kononnya dianggotai golongan profesional Melayu – sebagai
Islamofobia yang melampau, Haji Aminuddin berkata, ia menyanggahi Yang
di-Pertuan Agong (YDPA) selaku Ketua Agama Islam sekali gus bertentangan
dengan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad pernah mengeluarkan kenyataan pada tahun 2001 dan 2002 dahulu
menyatakan bahawa Malaysia adalah negara Islam.
“Adakah G25 bersetuju dengan kenyataan
beliau itu? Mesej ini jugalah yang kami ingin angkat untuk kempen pada
kali ini,” katanya merujuk kepada kempen Malaysia Negara Islam (MNI)
yang dilancarkan pada 26 Disember lalu.
Pelancaran kempen ini bertujuan
mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sekali gus
menolak usaha terancang pihak tertentu yang ingin menjadikan negara ini
sebagai sebuah negara sekular
Haji Aminuddin yang juga Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) berkata, setakat ini, jumlah sokongan pada
petisyen atas talian yang bersetuju bahawa Malaysia adalah negara Islam
sudah melebihi 50,000 tandatangan dalam waktu yang singkat.
“Ia adalah satu indikator bahawa suara G25 langsung tidak mewakili umat Islam di Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan G25 mendakwa apa yang didukung oleh Isma akan menyebabkan kejatuhan negara.
“Isma mungkin mendapat satu juta
tandatangan, namun arus perdana Malaysia yang mewakili majoriti, tidak
akan mengikuti agenda Islamnya itu,” kata kumpulan berkenaan.
Dalam pada itu, Haji Aminuddin berkata,
petisyen ini juga akan digerakkan ke seluruh Malaysia secara bertulis
dengan sasaran satu juta sokongan.
“Justeru, semua rakyat Malaysia khususnya
umat Islam diseru untuk menyokong kempen ini dan menolak
sekeras-kerasnya seruan golongan Islamofobik yang menafikan status
Malaysia sebagai negara Islam dan segala usaha ke arahnya,” katanya
dalam satu kenyataan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan