PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran MyPPP, bekas komponen Barisan Nasional yang dilanda perpecahan dalaman sejak tahun lepas.
Ketua Pengarah Masyati Abang Ibrahim memaklumkan keputusan itu hari ini melalui surat kepada Tan Sri M Kayveas dan Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz yang berebut jawatan presiden parti.
Masyati dalam kenyataan berkata pendaftaran MyPPP dibatalkan selepas mendapati rayuan daripada parti itu tidak mempunyai “sebab-sebab yang cukup”.
“Maka oleh itu, diperintahkan pendaftaran pertubuhan yang namanya tersebut dibatalkan mulai dari tarikh perintah ini,” katanya.
D’Cruz dikatakan mendalangi langkah menyingkir Kayveas sebagai presiden tahun lepas, keputusan yang disokong sebulat suara di mesyuarat agung tahunan MyPPP ke-64 yang diadakan beberapa hari selepas pilihan raya umum.
Kayveas bertegas dia masih presiden yang sah, dan baru-baru ini menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands.
Sementara itu, Setiausaha Agung Datuk Simon Sabapathy mengesahkan menerima surat berkenaan dan berkata MyPPP akan mengadakan mesyuarat tergempar esok untuk membincangkan keputusan JPPM.
“Kami akan buat rayuan kepada menteri dalam jangka masa 30 hari. Kami juga kemungkinan besar akan failkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah tinggi dalam jangka masa 30 hari ini,” katanya.
Beliau menjelaskan JPPM pada September meminta MyPPP menerangkan 3 perkara, iaitu pemecatan Kayveas, surat peletakan jawatan Kayveas dan pemegang jawatan majlis tertinggi parti.
Simon berkata 3 perkara itu sudah diterangkan kepada JPPM, dan percaya pembatalan pendaftaran parti hari ini disebabkan oleh kekeliruan di pihak jabatan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan