Memaparkan catatan dengan label NAHAS MH 370. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label NAHAS MH 370. Papar semua catatan

Rabu, 19 Februari 2020

Tiada bukti sokong teori ‘bunuh beramai-ramai’ bekas PM Australia, kata KPN

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid ketika sidang media di Pulapor 
hari ini.
 
KUALA LUMPUR: Tiada bukti menyokong teori juruterbang pesawat MH370 mungkin melakukan pembunuhan beramai-ramai seperti yang didedahkan bekas perdana menteri Australia, Tony Abbott.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata perkara itu berdasarkan siasatan yang dilakukan pihaknya dengan mengambil kira pelbagai sudut susulan kehilangan misteri pesawat tersebut.

Katanya, selagi rangka kapal terbang itu tidak ditemui, punca sebenar kehilangan MH370 tidak boleh dimuktamadkan.

“Ia masalahnya sekarang, kita tidak jumpa rangka kapal terbang itu, kita tidak dapat menemui manusia yang terlibat atau mereka yang menjadi penumpang kapal terbang itu.

“Saya tidak tahu siapa pegawai tertinggi Malaysia yang Abbott maksudkan itu, tapi pihak kita sewaktu itu saya pun terlibat dalam siasatan kehilangan MH370.

“Kita menyiasat di seluruh sudut baik dari segi keganasan, hijack oleh pihak tertentu, macam-macam teori dengan menggunakan teknologi canggih, jadi banyak fakta telah terkumpul,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis (Pulapor) hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Abbott sebagai berkata pegawai “berpangkat tertinggi” Malaysia memberitahunya juruterbang pesawat MH370 mungkin melakukan pembunuhan beramai-ramai, menjelang ulang tahun ke-6 kehilangan pesawat itu, bulan depan.

“Pemahaman saya – pemahaman saya yang amat jelas – daripada peringkat tertinggi kerajaan Malaysia ialah sejak awal lagi mereka menganggap ia ialah pembunuhan-bunuh diri oleh juruterbang,” kata Abbott yang menjadi perdana menteri ketika pesawat hilang 6 tahun lalu, kepada dokumentari Sky News yang baru.

Abbott dalam wawancara itu enggan mendedahkan identiti pegawai Malaysia terbabit.

“Saya tidak akan beritahu siapa cakap apa kepada siapa. Tetapi, biar saya ulangi – Saya mahu terangkan – ia difahamkan di peringkat tertinggi yang ini hampir pasti (kes) pembunuhan dan bunuh diri oleh juruterbang. Pembunuhan beramai-ramai dan bunuh diri oleh juruterbang,” katanya.

Tetapi, Abbott berkata, beliau tidak mengesyaki ada konspirasi untuk menyembunyikan dakwaan rancangan pembunuhan oleh juruterbang itu, tetapi menyokong sebarang langkah membuka semula siasatan.

Mengulas lanjut, Hamid berkata Abbott berhak menyatakan pendiriannya berdasar maklumat yang diterima kepada media.

“Saya beri keistimewaan kepada beliau sebagai perdana menteri waktu itu, kalau beliau nak kongsi kepada media, apa yang dibualkan dengan pegawai atasan Malaysia itu terpulang kepada beliau.

“Saya di pihak polis tidak boleh memberi apa-apa komen selagi tidak ditemui (pesawat) berdasarkan undang-undang,” katanya.

Hamid berkata pihaknya bersedia membuka semula kertas siasatan jika rangka pesawat itu ditemui.

Penerbangan Malaysia Airlines yang dalam perjalanan ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan kru itu hilang kira-kira 40 minit selepas meninggalkan Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.

Kehilangan pesawat itu dianggap satu daripada misteri terbesar penerbangan, serta ia berakhir dengan misi mencari dan menyelamat paling lama serta mahal dalam sejarah.

Timbul beberapa teori konspirasi berhubung kehilangan MH370, termasuk juruterbang kanannya yang berusia 53 tahun, Zaharie Ahmad Shah sengaja melencongkan pesawat itu daripada laluan biasa selepas kata-kata terakhirnya “Selamat malam. Malaysian 3-7-0” sebelum pesawat itu hilang daripada radar pada 1.21 pagi.

Teori “juruterbang jahat” bagaimanapun ditepis rakan Zaharie dan juruterbang lain.

Najib berkata siasatan MH370 tidak pernah tolak plot jenayah, hubungan politik juruterbang

Najib Razak yang merupakan perdana menteri ketika kemuncak 
episod MH370 berkata penyiasat tidak pernah menolak plot 
jenayah melibatkan juruterbang Zaharie Ahmad Shah. (Gambar 
Bernama)
 
PETALING JAYA: Najib Razak hari ini seperti mengesahkan dakwaan bekas perdana menteri Tony Abbot bahawa pegawai kerajaan Malaysia mengesyaki suatu plot jenayah dalam kehilangan penerbangan Malaysia Airlines MH370.

Bekas perdana menteri itu seterusnya berkata pihak berkuasa juga ada menyiasat motivasi politik kerana hubungan politik juruterbang MH370, Zaharie Ahmad Shah.

Namun rasa syak itu tidak diumumkan walaupun pembangkang ketika itu cuba menyalahkan kerajaannya dalam hal pengendalian episod MH370, katanya.

“Ia akan dianggap tidak adil dan tidak bertanggungjawab dari segi undang-undang kerana kotak hitam dan perakam suara kokpit belum ditemui justeru tiada bukti yang tidak dapat dipertikaikan sama ada juruterbang itu dia semata-mata bertanggungjawab atau sama-sama,” kata Najib kepada FMT hari ini.

Beliau juga perdana menteri ketika pesawat membawa 239 penumpang itu hilang 6 tahun lalu dalam penerbangan malam dari Kuala Lumpur ke Beijing.

“Sekali lagi saya mesti tegaskan kemungkinan itu tidak pernah ditolak dalam usaha pencarian dan siasatan ke atas senario MH370, yang dijalankan sehabis mungkin,” tambahnya.

Bekas pemimpin itu tidak menamakan siapa yang dimaksudkan, tetapi nampaknya merujuk kepada perbicaraan Liwat 2 melibatkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Pesawat itu hilang beberapa jam selepas Anwar dijatuhkan hukuman penjara apabila Mahkamah Rayuan menterbalikkan pembebasannya dalam tuduhan meliwat bekas pembantu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Zaharie dilaporkan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Rayuan itu pada 7 Mac.

“Juruterbang itu diketahui seorang ahli parti pembangkang yang pernah menghadiri pelbagai aktiviti politik dan pemimpin pembangkang kemudian akui juruterbang itu ada kaitan dengannya,” kata Najib kepada FMT.

Beberapa hari selepas kejadian, Anwar akui Zahari ada kaitan denganya menerusi perkahwinan seorang anaknya, dan beliau pernah bertemu juruterbang kanan itu “beberapa kali”.

Abbot, yang ditemui untuk dokumentasi Sky News menjelang ulangtahun ke-6 kehilangan pesawat itu bulan depan, berkata pegawai “berpangkat tertinggi” Malaysia memberitahunya Zaharie mungkin melakukan pembunuhan beramai-ramai.

“Pemahaman saya – pemahaman saya yang amat jelas – daripada peringkat tertinggi kerajaan Malaysia ialah sejak awal lagi mereka menganggap ia ialah pembunuhan-bunuh diri oleh juruterbang,” kata Abbott.

Najib berkata terdapat beberapa sebab untuk pihak berkuasa mengesyaki penglibatan Zaharie, termasuk fakta bahawa transponder pesawat ditutup pada saat penting, ketika ia akan memasuki ruang udara Vietnam.

“Ini mencadangkan siapa pun yang bertanggungjawab memiliki pengetahuan tentang penerbangan komersial,” kata Najib.

Najib berkata penyiasat juga mengambil kira keadaan emosi Zaharie, serta simulator penerbangan di rumahnya yang menimbulkan rasa syak.

Najib bagaimanapun tidak percaya sesebuah parti politik boleh dipersalahkan sekiranya benar juruterbang itu melakukan pembunuhan beramai-ramai.

“Tetapi tidak boleh dipertikaikan jentera propaganda politik mereka dan mesejnya ketika itu sangat berkesan, hinggakan ramai rakyat terpedaya dan menjadi radikal sehingga taksub.

“Tunjuk perasaan besar-besaran yang dihadiri ratusan ribu orang selepas pilihan raya umum tahun sebelumnya sebelum pesawat itu hilang, yang percaya dakwaan tidak benar dan berniat jahat parti pembangkang ketika itu seperti terdapatnya 40,000 pengundi ragu dan bekalan elektrik terputus semasa hari pengundian pilihan raya, bukti ketaksuban itu.

“Dakwaan seperti itu sudah terbukti pembohongan oleh pembangkang ketika itu tetapi ramai ketika itu benar-benar percaya,” kata Najib, merujuk kepada dakwaan penipuan semasa pilihan raya 2013.

Najib memberi amaran orang ramai agar jangan membuat sebarang kesimpulan yang menyalahkan juruterbang itu “kecuali dan sehingga ada kotak hitam dan perakam suara kokpit diperoleh”.

Kehilangan MH370 itu dianggap salah satu misteri penerbangan terbesar, dan membawa kepada misi mencari dan menyelamat paling lama dan paling mahal dalam sejarah.

Rabu, 16 Januari 2019

Nelayan bersumpah dengan al-Quran, nampak MH370 terbakar

Norlaile Abd Rahman
xMGF16012019_PC-Persatuan-Pengguna-Subang-dan-Shah-Alam-CASSA_05-681x454
Saksi, Rosli Kusmin, 42 bercakap pada sidang media Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) mengenai saksi dari Indonesia yang telah menyaksikan kemalangan pesawat MH370 akan bersumpah dengan Al-Quran mengaku bahawa mereka telah menyaksikan sendiri kejadian itu berlaku di perairan Sumatera dan hadir bersama bukti yang ada setakat ini di Lake View Club, Subang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI

SUBANG JAYA – Seorang nelayan warga Indonesia, Rosli Kusmin bersumpah dengan al-Quran bahawa dia ternampak sebuah pesawat yang dipercayai MH370 terbakar dan kemudiannya mendarat di permukaan air sebelum tenggelam berhampiran Selat Melaka dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi WIB pada 9 Mac 2014.

Menurut Rosli, dia bersama tiga awak-awak sedang mencari ikan di kawasan perairan Sumatera berhampiran Selat Melaka sebelum terlihat sebuah pesawat yang diselubungi asap tebal sedang terbang dalam keadaan teroleng-oleng dan mendarat dengan perlahan di atas air kira-kira tiga kilometer dari botnya.

“Saya ketika itu sedang bekerja tetapi apabila melihat kejadiaan tersebut, saya cepat-cepat menaikkan bubu ikan dan prosesnya memakan masa kira-kira 15 minit.

“Perjalanan untuk sampai ke kawasan kapal terbang berkenaan pula adalah kira-kira 15 minit tetapi apabila kami tiba, badan pesawat sudah tidak kelihatan lagi.

“Apa yang tinggal hanyalah asap tebal yang berbau busuk seperti asid datang dari bawah laut.

“Kami cuba mencari tetapi tidak berjumpa apa-apa serpihan tetapi alat mengesan lubuk ikan yang dipasang pada bot dapat menangkap satu imej seperti kapal terbang di bawah laut. Kami juga merekodkan kordinat GPS pada kawasan tersebut,” katanya sambil memegang al-Quran semasa sidang media di sini hari ini.

MGF16012019_PC Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA)_13
Saksi, Rosli Kusmin, 42 bergambar bersama alat navigasi GPS 
pada sidang media Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam 
(CASSA) mengenai saksi dari Indonesia yang telah menyaksikan 
kemalangan pesawat MH370 akan bersumpah dengan Al-Quran 
mengaku bahawa mereka telah menyaksikan sendiri kejadian itu 
berlaku di perairan Sumatera dan hadir bersama bukti yang
ada setakat ini di Lake View Club, Subang Jaya, Selangor. foto 
IQBAL BASRI
Rosli diterbangkan khas dari Indonesia oleh Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) untuk memberi kenyataan kepada media mengenai insiden yang dilihatnya kira-kira lima tahun lalu.

Menurut Presiden CASSA, Datuk Jacob George, bukti-bukti yang diperolehi daripada Rosli dan juga hasil siasatan persendirian beliau bersama pakar-pakar lain akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan dalam tempoh 10 hari lagi.

“Pencarian MH370 tidak pernah dilakukan di kawasan tersebut dan saya rasa inilah masanya kita melakukan pencarian di situ kerana kita mempunyai maklumat baharu.

“Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti bergantung kepada naratif yang diberikan oleh Barat.

“Berdasarkan kenyataan Rosli, adalah logik apabila dia terhidu bau asap seperti asid kerana pesawat berkenaan membawa bateri lithium dan cara pendaratannya menjawab persoalan mengapa tiada serpihan ditemui terapung pada hari kejadian.

“Saya harap kerajaan boleh menubuhkan jawatankuasa petugas khas untuk pergi ke kawasan tersebut, semoga ia akan memberi penamat kepada keluarga mangsa,” katanya yang turut hadir di sidang media tersebut.

Pesawat Boeing 777 penerbangan MH370 hilang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac 2014. – MalaysiaGazette


Jumaat, 24 Ogos 2018

Pesawat bawah permukaan air Google Maps MH370?

SINAR HARIAN

Pesawat bawah permukaan air Google Maps MH370?
Paparan imej dari Google Maps yang memaparkan sebuah pesawat di sekitar perairan Padang, Indonesia.
 
 
PADANG. INDONESIA - Seorang ahli teori konspirasi mendakwa dia mungkin sudah menemui pesawat MH370 menerusi carian di Google Maps.

Menerusi carian itu, dia menemui satu imej berbentuk pesawat di bawah permukaan air di perairan Padang, Indonesia.

Lokasi itu dikatakan sekitar sejam perjalanan dari Kuala Lumpur yang mana ia merupakan lokasi pesawat itu berlepas pada Mac 2014.

Penulis yang tidak dinyatakan nama atau identiti itu dalam laporan di worldpronews.com berkata pesawat itu mungkin berada di bawah permukaan air, dan ia berkemungkinan merupakan pesawat yang selama ini dicari-cari.

Bagaimanapun, dia juga tidak menolak kemungkinan jika paparan imej dalam carian itu merupakan pesawat lain yang melakukan pendaratan di atas air.

Sekadar berkongsi maklumat, manalah tahu jika ia merupakan MH370 yang dicari-cari.

"Sesetengah orang mungkin berpendapat ia adalah pesawat lain yang mendarat di atas air, ada juga yang cakap ini tipu semata-mata.

"Jika anda melakukan pengiraan saiznya menggunakan Google, ia sekitar 12 hingga 15 meter panjang di atas air.

"Saya tak pasti formula mengukur saiz jika ia berada pada kedalaman 15 hingga 20 meter di dalam air, seseorang mungkin tahu," ujar individu tersebut.

Malah, terdapat beberapa pelayar laman tersebut yang turut bersetuju bahawa imej berkenaan merupakan pesawat milik Malaysia Airline yang hilang pada 2014.

"Saya rasa ini bukan posting palsu, saya baru periksa dan ia ada di sana. Ia tidak berada di daratan, jika anda tengok betul-betul, ia kelihatan terbalik," ujar seorang individu.

Pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan trafik setelah 40 minit berlepas dari Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Beijing.

Penerbangan itu membawa 239 penumpang termasuk anak kapal.

Pada Julai lalu, penyiasat mendedahkan lebih 60 teori berkaitan insiden itu menerusi laporan mereka.
Menurut ketua penyiasat, Kok Soo Choon, pesawat itu membuat pusingan balik sebelum mengubah haluannya.

Malah, alatan komunikasi di pesawat itu turut dimatikan.

"Kita tak boleh sahkan jika ia dipandu pihak lain selain juruterbang, tapi kita juga tak menolak kemungkinan ia diambil alih oleh orang lain," katanya.

Sehingga kini, insiden melibatkan MH370 kekal misteri dan menjadi tanda-tanya semua pihak. - MStar

Jumaat, 20 Julai 2018

Putrajaya dedah laporan penuh siasatan MH370 hujung bulan ini

 
Laporan itu akan dibentangkan kepada keluarga mangsa dan media pada 30 Julai, diikuti ahli Parlimen pada 31 Julai sebelum dimuat naik ke laman rasmi kementerian.
 
 
 
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementerian mencetak 1000 naskah laporan siasatan penuh tragedi MH370 untuk diagihkan kepada pihak tertentu.

PUTRAJAYA: Laporan penuh siasatan tragedi MH370 akan dibentangkan kepada keluarga mangsa, pihak media, masyarakat umum dan warga Parlimen akhir bulan ini, kata menteri pengangkutan.

Anthony Loke berkata laporan siasatan itu dijadualkan dibentangkan bermula pada 30 dan 31 Julai ini diketuai Ketua Penyiasatan Tragedi MH370, Datuk Kok Soo Chon.

“Kita akan bentang siasatan penuh tragedi yang melanda MH370 kepada keluarga mangsa pada pagi 30 Julai ini secara tertutup.

“Waktu petang, kita akan adakan sidang media khas untuk petugas media bagi menghebahkan kepada umum.

“Kita juga akan bentang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 31 Julai, seterusnya memuat naik laporan penuh tersebut ke laman rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk rujukan umum,” katanya pada sidang media hari ini.

Anthony juga berkata sebanyak 1000 naskah laporan siasatan penuh tragedi itu dicetak untuk diagihkan kepada pihak tertentu.

“Sebanyak 1000 set laporan itu akan diserahkan setiap 1 kepada keluarga mangsa, pihak media yang hadir dan setiap kedutaan luar negara di Malaysia.”

Penerbangan MH370 itu, yang membawa 239 orang, hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Malaysia pada Januari bersetuju untuk membayar syarikat Ocean Infinity yang berpangkalan di Houston sebanyak AS$70 juta jika mereka berjaya temui pesawat itu dalam tempoh pencarian selama 90 hari di selatan Lautan Hindi.

LIHAT VIDEO DI SINI

Rabu, 30 Mei 2018

Misi pencarian MH370 berakhir

 
   
Syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity mengesahkan bahawa misi pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang telah berakhir.

Ocean Infinity dalam satu kenyataan semalam berkata, syarikat itu telah menjalankan pencarian dan mengumpul data berkualiti tinggi meliputi kawasan seluas lebih 112,000 km persegi dan berjaya mengatasi keadaan dan kawasan dasar laut yang mencabar.

"Keluasan kawasan yang diliputi dalam masa lebih tiga bulan operasi adalah jauh melebihi sasaran awal iaitu 25,000 km persegi dan hampir sama dengan kawasan pencarian sebelumnya dalam tempoh dua setengah tahun," kata kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett merakamkan rasa dukacita semua pihak di Ocean Infinity kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam MH370.

"Sebahagian daripada motivasi kami untuk menyambung semula pencarian ialah cuba merungkaikan beberapa jawapan kepada mereka yang terlibat. Oleh itu, kami dengan hati yang amat berat mengakhiri usaha pencarian tanpa mencapai matlamat itu," kata Plunkett.

Beliau berkata, Ocean Infinity sangat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberi tawaran dan peluang kepada syarikat tersebut untuk menyambung semula misi pencarian.

Komitmen yang dizahirkan oleh kerajaan baharu di Malaysia untuk memberi keutamaan kepada usaha menjejaki MH370 adalah sangat baik untuk didengar, kata Plunkett.

"Walaupun hasil misi pencarian itu setakat ini amat mengecewakan, tetapi sebagai sebuah syarikat, kami amat berbangga dengan apa yang telah kami capai dari segi kualiti data yang kami hasilkan dan kecepatan tempoh masa yang telah diliputi dalam misi pencarian merangkumi kawasan yang luas. Belum pernah misi pencarian dasar laut laut berskala ini dijalankan dengan begitu cekap dan berkesan sebelumnya,” kata beliau.

Beliau juga berkata, Ocean Infinity dengan ikhlas berharap syarikat itu sekali lagi dapat menawarkan khidmatnya dalam pencarian MH370 pada masa akan datang.

Ocean Infinity juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan di atas kapal Seabed Constructor yang telah berusaha dengan gigih tanpa penat dan juga kepada semua syarikat, organisasi dan individu yang memberi sokongan, bimbingan dan nasihat yang tidak ternilai.

Pihak berkenaan juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan di Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang dedikasi mereka usaha menjejaki pesawat tersebut tidak pernah pudar dan layak diberi pujian, kata Plunkett.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Pada Januari tahun ini, Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity untuk menyambung semula pencarian pesawat malang itu.

Misi pencarian oleh Ocean Infinity di selatan Lautan Hindi adalah berdasarkan terma “no cure, no fee,” yang bermakna bayaran hanya akan dibuat apabila serpihan pesawat yang hilang itu ditemukan dan disahkan oleh pihak ketiga.- Bernama

Sabtu, 19 Mei 2018

MH370 antara keutamaan menteri pengangkutan Anthony Loke

 
Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu juga mahu menjadikan pengurangkan kadar kemalangan dan memastikan jalan raya selamat sebagai agenda utamanya.


Anthony Loke berkata, pengalamannya selama 10 tahun di Parlimen banyak membantu beliau lebih memahami fungsi kerajaan. (Gambar fail)


SEREMBAN: Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook terkejut dengan pelantikannya sebagai menteri pengangkutan dalam Kabinet Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Loke yang juga anggota Parlimen Seremban dan adun Chennah berkata, pelantikan itu adalah satu tanggungjawab besar khususnya dalam menyelesaikan isu melibatkan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan juga keselamatan jalan raya.

“Saya berterima kasih kepada kepimpinan parti dan perdana menteri atas kepercayaan mereka melantik saya sebagai menteri pengangkutan.

“Saya tahu ia adalah tanggungjawab besar, bukan hanya untuk pengangkutan darat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tetapi juga penerbangan, maritim, pelabuhan dan sebagainya, tetapi kementerian ini sangat penting untuk membantu pertumbuhan ekonomi.

“Saya juga perlu melihat banyak perkara…banyak isu (seperti) keselamatan jalan raya, daya saing pelabuhan kita dan sudah tentu isu utama bagi kementerian ialah terus mencari kehilangan MH370.

Saya harap semasa memegang jawatan ini, kita akan dapat mencapai kesimpulan kepada isu MH370.

“Ini saya fikir sangat penting bukan hanya untuk ahli keluarga, tetapi juga industri penerbangan. Saya amat berharap pada bulan-bulan atau tahun-tahun akan datang, kita akan dapat menutup tragedi ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, perdana menteri mengumumkan Loke yang juga setiausaha organisasi kebangsaan DAP, sebagai menteri pengangkutan.

Pesawat Boeing 777 dengan 239 penumpang itu hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014. Usaha untuk mencari pesawat itu masih gagal sehingga kini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, bagi memenuhi visinya, beliau meminta Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim memberi taklimat lengkap mengenai kementerian itu Selasa depan.

“Saya memberitahu KSU saya ingin ke lapangan secepat mungkin, terdapat banyak isu yang perlu dihadapi dan tentu saja perkara utama yang saya mahu lihat ialah kementerian mesti mengambil inisiatif untuk memastikan keselamatan jalan raya, memandangkan kini adalah bulan Ramadan dan tidak lama lagi, orang ramai akan berpusu-pusu balik ke kampung dan setiap tahun kita melihat banyak kemalangan berlaku.

“Ini adalah satu isu yang mahu kita tangani…kita mahu mengurangkan kemalangan jalan raya, memastikan jalan raya adalah selamat untuk semua dan ia adalah agenda utama saya,” katanya.

Sepuluh tahun di Parlimen, Loke berkata, pengalaman itu banyak membantu beliau lebih memahami fungsi kerajaan.

“Sudah tentu saya tidak tahu semuanya, tetapi saya akan belajar. Sebagai menteri baharu, saya mengamalkan minda terbuka (dan) saya akan belajar, semestinya saya memerlukan sokongan daripada penjawat awam,” katanya.

Jumaat, 23 Mac 2018

Dr M bangkit teori MH370 ‘dikawal dari jauh’



Dr Mahathir Mohamad tidak percaya Kuala Lumpur terbabit dalam menyembunyikan kehilangan misteri MH370.


PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, penerbangan MH370 mungkin diambil alih dari jauh dalam cubaan untuk menggagalkan rampasan pesawat Malaysia Airlines itu, menghidupkan kembali satu daripada teori konspirasi berhubung kehilangan misteri berkenaan.

Pesawat itu hilang pada 8 Mac 2014 bersama 239 penumpang dan kru – kebanyakan warga China – dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Tiada tanda Boeing 777 itu ditemui dalam pencarian besar-besaran diketuai Australia di selatan Lautan Hindi, yang terbesar dalam sejarah penerbangan dan digantung awal tahun lalu.

Setakat ini, hanya 3 serpihan disahkan milik MH370 ditemui di pantai barat Lautan Hindi, termasuk sayap sepanjang 2m dikenali sebagai flaperon.

Pencarian itu dimulakan semula Januari lalu di utara zpn asal yang saintis kini percaya ia berkemungkinan besar ialah lokasi pesawat itu terhempas.

Syarikat penerokaan dasar laut yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity memulakan pencarian MH370 atas dasar “tiada penemuan, tiada bayaran” pada 22 Januari lalu.

Dr Mahathir, 92, yang mengetuai Pakatan Harapan untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya umum akan datang berkata, beliau tidak percaya Kuala Lumpur terbabit dalam menyembunyikan kehilangan misteri pesawat itu.

Tetapi, beliau memberitahu akhbar The Australian dalam satu wawancara yang pesawat itu mungkin dikawal dari jauh.

“Dilaporkan pada 2006, Boeing diberi lesen untuk mengambil alih pesawat dirampas yang sedang terbang, jadi saya tertanya-tanya adakah itu yang berlaku atau sebaliknya.

“Sangat pelik sebuah pesawat tidak meninggalkan jejak sama sekali,” kata Dr Mahathir yang memimpin negara selama 22 tahun.

“Keupayaan untuk melakukannya ada. Teknologi itu ada di sana.

“Anda tahu betapa pandai orang sekarang menerbangkan pesawat tanpa juruterbang. Pesawat tempur juga boleh terbang tanpa juruterbang. Sesetengah teknologi kita boleh baca dalam media, tetapi banyak kepentingan ketenteraan tidak diterbitkan.”

Menurut laporan, Boeing pada 2006 diberikan paten Amerika Syarikat untuk satu sistem yang apabila diaktifkan, boleh mengambil alih pesawat komersial daripada juruterbang atau kru, jika berlaku rampasan pesawat.

Tetapi, tiada bukti ia pernah digunakan ke atas pesawat kerana faktor keselamatan.

Kegagalan mengesan lokasi terakhir MH370 mencetuskan banyak teori, termasuk pesawat itu dirampas atau ia adalah plot keganasan.

Kapten pesawat itu, Zaharie Ahmad Shah turut disiasat, tetapi tiada apa yang ditemui.

Pencarian awal memfokuskan sebuah kawasan di timur Semenanjung Malaysia, tetapi tumpuan kemudiannya beralih ke pantai barat apabila pesawat itu dikesan menukar arah dan menuju ke Lautan Hindi.

Penyiasat kemudiannya memfokuskan sebuah kawasan di barat Australia berdasarkan isyarat “ping” satelit dan anggaran bahan api dalam pesawat itu yang mencadangkan ia terhempas di selatan Lautan Hindi.

Khamis, 1 Mac 2018

Pencarian MH370 sudah liputi 8,200km persegi – Liow

Bernama
Seorang pengunjung melihat lukisan berkenaan kehilangan MH370 yang terdapat di pameran semperna memperingati tahun ke tiga kehilangan pesawat MH370 di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL
.

PUTRAJAYA – Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 sudah meliputi kawasan seluas 8,200 kilometer persegi namun belum menemui apa-apa, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Misi pencarian semakin rancak dan ia berjalan dengan baik,” katanya diminta mengulas perkembangan pencarian MH370 oleh syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity Limited.

Pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang dari radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, dan kehilangan pesawat itu disifatkan sebagai antara yang paling menimbulkan misteri dalam sejarah penerbangan di dunia.

Operasi pencarian MH370 oleh Ocean Infinity adalah berdasarkan terma ‘no cure no fee’ iaitu pembayaran hanya dibuat apabila serpihan pesawat ditemukan dalam tempoh masa 90 hari.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini, Liow berkata dua pegawai Malaysia telah dihantar untuk menyertai misi pencarian tersebut dan seorang lagi pegawai pula akan dihantar minggu depan.

“Kami yakin pencarian akan dapat menemukan pesawat hilang itu,” katanya.

Sementara itu, Liow yang juga presiden MCA berkata parti itu akan berdepan dengan pelbagai cabaran menjelang pilihan raya umum ke-14 termasuk serangan dalaman dan luar terhadap parti itu.

“Namun pendirian MCA tegas iaitu terus mempertahankan keharmonian negara dan kepentingan masyarakat Cina,” katanya. – Bernama


Khamis, 8 Februari 2018

Pihak berkuasa membisu pencarian MH370 terputus hubungan 3 hari

 
Kemaskini mingguan oleh kerajaan tentang pencarian MH370 tidak menyebut tentang tempoh antara 1-4 Februari di mana sistem jejak kapal pencarian ditutup.


ocean-infinity

PETALING JAYA: Pihak berkuasa membisu tentang sistem jejak kapal Seabed Constructor yang ditutup selama 3 hari semasa mencari pesawat Malaysia Airlines MH370.

Menurut akhbar The Guardian, kemaskini minggu kedua pencarian itu yang diterbitkan Putrajaya semalam tidak menyebut tentang tempoh antara 1-4 Februari, di mana sistem pengenalpastian automatik (AIS) kapal itu ditutup.

Kerajaan dan syarikat Amerika Syarikat yang ditugaskan untuk mencari kapal itu, Ocean Infinity, tidak memberi sebarang penjelasan, tambah laporan itu.

Seabead Constructor dilaporkan “terputus hubungan” selama 80 jam minggu lepas selepas AIS kapal itu tertutup secara misteri.

Peristiwa itu mencetuskan spekulasi di dunia maya, di mana sesetengah orang mencadangkan penjejak kapal itu mengalami kerosakan dan ada pula yang mendakwa kapal itu melencong untuk mengambil harta karun yang terbenam.

Kapal itu memulakan pencarian pada 22 Januari, dalam apa yang dipanggil usaha terakhir untuk mengesan MH370.

Dalam perjanjiannya dengan Malaysia, Ocean Infinity akan dibayar sehingga AS$70 juta (RM280 juta) sekiranya mereka menemui MH370 dalam tempoh 90 hari.

MH370 hilang pada Mac 2014 dalam perjanjian dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang.

Operasi pencarian terbesar dan paling mahal dalam sejarah penerbangan moden gagal menemui bangkai pesawat.

Jumaat, 12 Januari 2018

MH370: Perjanjian ‘jumpa baru bayar’ usaha pencarian sesuai

 
Usaha menjejaki MH370 akan bermula pada pertengahan Januari menggunakan kapal Seabed Constructor membabitkan kawasan seluas 25,000 km persegi dalam tempoh 90 hari. 


Dr. Mohd Harridon

KUALA LUMPUR: Perjanjian “no cure, no fee” atau “jumpa baru bayar” merupakan pendekatan sesuai dalam menyambung semula misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada Mac 2014, menurut pakar penerbangan.

Juruterbang pandu uji Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata perjanjian ditandatangani antara Malaysia dan syarikat penerokaan dasar laut yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity Limited, untuk memulakan misi pencarian baharu di selatan Lautan Hindi itu akan menjamin kerajaan mendapat perjanjian yang adil dari segi bayaran kewangan.

“Tiada gunanya membayar perkhidmatan yang tidak mendatangkan apa-apa hasil, oleh itu membuat pembayaran selepas mendapat hasilnya merupakan satu pendekatan optimum untuk mengurangkan atau mengelakkan kerugian modal,” katanya kepada Bernama.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Rabu mengumumkan di bawah perjanjian itu, usaha menjejaki MH370 akan bermula pada pertengahan Januari menggunakan kapal Seabed Constructor membabitkan kawasan seluas 25,000 km persegi dalam tempoh 90 hari

Keutamaan misi kapal itu adalah untuk mengenal pasti lokasi bangkai pesawat dan/atau kedua-dua rakaman penerbangan, rakaman suara kokpit (CVR) dan rakaman data penerbangan (FDR).

Mohd Harridon percaya langkah meneruskan usaha menjejaki pesawat itu inisiatif penting di pihak kerajaan dan sektor swasta, sekaligus dapat menyelesaikan satu daripada misteri terbesar dalam sejarah penerbangan.

Seorang penyelidik di sebuah syarikat penerbangan tempatan, Ahmad Maulan Bardai yang turut bersetuju dengan pendapat itu berkata perjanjian itu berkait rapat dengan aspek undang-undang.

Beliau berkata sepatutnya tiada lagi pencarian rasmi dilakukan pihak kerajaan berikutan penyiasatan rasmi merumuskan “pesawat itu hilang”.

“Selain itu, kerajaan tidak boleh lagi memberikan komitmen dari segi kewangan untuk sesuatu yang tidak pasti. Lagipun, usaha pencarian dan pembiayaan ini sudah menjadi amalan dalam industri perkapalan,” katanya.

Ahmad Maulan berkata keputusan dibuat oleh menteri patut dipuji demi masa depan industri penerbangan global.

Beliau berkata terdapat banyak soalan belum terjawab yang mungkin memberikan implikasi besar terhadap reka bentuk, penyelenggaraan, prosedur operasi dan amalan syarikat penerbangan dan lapangan terbang untuk memastikan keselamatan pesawat, penumpang dan anak kapal.

“Ini tidak termasuk keperluan menyelesaikan kebimbangan ahli keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat,” katanya dan menurutnya semua usaha perlu diambil untuk mencari dan menemukan bangkai pesawat itu supaya semua soalan itu terjawab.

Pesawat MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal dilaporkan hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014, dan dikategorikan sebagai misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia.

Australia, China dan Malaysia, yang menyelaras dan membiayai secara bersama operasi pencarian telah menggantung misi pencarian MH370 pada Januari tahun lalu selepas tiada kesan pesawat Boeing itu dijejaki di kawasan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Setakat ini, hanya 3 cebisan disahkan daripada MH370 telah ditemukan, kesemuanya di pantai di selatan Lautan Hindi, termasuk sayap sepanjang dua meter dikenali sebagai flaperon.

Selasa, 5 September 2017

MH370: Malaysia hantar pegawai ke Madagascar dapatkan bangkai pesawat

ISMA WEB
 


KUALA LUMPUR – Malaysia telah menghantar beberapa pegawai dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk mendapatkan serpihan pesawat yang ditemui di Madagascar sebelum ini, bagi menentukan sama ada ia adalah milik Malaysia Airlines MH370 yang hilang tiga tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan bahawa beberapa pegawai telah berlepas ke Madagascar bagi tujuan tersebut.

“Kami dihubungi oleh pihak berkuasa dari Madagascar dan saya telah mengarahkan petugas kita untuk mengumpulkan serpihan itu.

“Ia hanya satu keping kecil,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Liow berkata, ia adalah prosedur operasi standard (SOP) untuk serpihan itu dihantar ke Malaysia atau pegawai dihantar ke sana untuk mengambilnya.

Kehilangan pesawat Boeing 777 itu telah menjadi salah satu misteri penerbangan terbesar di dunia.
Ia dikatakan telah pergi beribu-ribu batu dari selatan Lautan Hindi sebelum terhempas di pantai Australia Barat.

Operasi pencarian besar-besaran pesawat yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal pada 2014 itu dihentikan, Januari lalu selepas tiada sebarang petunjuk ditemui.


Jumaat, 1 September 2017

Pemburu serpihan dakwa konsul Malaysia dibunuh kerana serpihan MH370

 
Blaine Gibson mendakwa Houssenaly Zahid Raza dibunuh sebelum beliau sempat memastikan serpihan MH370 itu selamat tiba di Malaysia.


Blaine Gibson

PETALING JAYA: Seorang pemburu bangkai MH370 mendakwa konsul kehormat Malaysia ke Republik Madagascar yang bertanggungjawab menyerahkan serpihan pesawat Malaysia Airlines itu kepada pihak berkuasa Malaysia, maut akibat dibunuh.

Akhbar Australia, Perth Now memetik Blaine Gibson yang berasal dari Amerika Syarikat sebagai berkata, serpihan baru yang ditemui itu sepatutnya diserahkan kepada Houssenaly Zahid Raza,
sebelum dihantar melalui kourier swasta ke Malaysia.

Bagaimanapun, laporan itu mendakwa Houssenaly dibunuh pada 24 Ogos lalu, sebelum beliau sempat menjalankan tugasnya.

“Demi melindungi mereka yang terbabit, kami memutuskan tidak mendedahkan laporan ini sehingga serpihan itu dihantar ke Malaysia dengan selamatnya,” katanya.

Kementerian Luar tahu mengenai kematian Houssenaly. Namun, tiada butiran diberikan mengenai punca kematiannya.

Wisma Putra dalam satu kenyataan Selasa lalu menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Houssenaly yang dilantik sebagai konsul kehormat Malaysia ke Madagascar pada Disember 2013 selama 3 tahun.

“Berdasarkan prestasi cemerlang beliau dalam menjaga dan mempromosikan kepentingan Malaysia di negara berkenaan, kerajaan Malaysia memperbaharui kontraknya untuk jawatan sama untuk tempoh 3 tahun lagi sehingga Disember 2019,” kata kementerian itu.

Perth Now melaporkan seorang wakil Independent Group – sebuah pasukan pakar penerbangan dan matematik yang mengikuti perkembangan kehilangan MH370 berkata, masa kematian Houssenaly “mencurigakan” kerana belaiu dijangka pergi ke Kementerian Pengangkutan Madagascar untuk mendapatkan dan menghantar serpihan itu ke Malaysia.

Wakil itu mendakwa pihak berkuasa Malaysia dan Perancis bagaimanapun mendiamkan diri berhubung pembunuhan Houssenaly.

Gibson berkata, serpihan itu masih dalam tangan pihak berkuasa Madagascar, tetapi perancangan baru perlu dibuat untuk menghantar serpihan berkenaan ke Malaysia.

Jumaat, 11 Ogos 2017

Waris MH370 desak Malaysia terima tawaran firma AS

ISMA WEB




KUALA LUMPUR – Waris penumpang MH370 menuntut kerajaan Malaysia menerima tawaran sebuah firma penerokaan Amerika Syarikat (AS) bagi meneruskan operasi mencari pesawat itu.

Ia berikutan pesawat Malaysia Airlines yang hilang bersama 239 penumpang pada Mac 2014 itu masih tidak ditemui dalam operasi pencarian laut dalam di selatan Lautan Hindi di luar pantai barat Australia.

Dilaporkan pencarian pesawat berkenaan digantung sejak Januari lalu.

Ocean Infinity, sebuah firma penerokaan dasar laut mengesahkan mereka membuat tawaran meneruskan operasi pencarian minggu lepas.

Justeru, kumpulan sokongan waris MH370, Voice 370, mendesak pihak berkuasa Malaysia menerima tawaran tersebut.

“Kenapa Malaysia tidak menerima tawaran menang-menang ini?,” kata kumpulan itu.

Bagaimanapun pihak berkuasa Malaysia memberitahu, perbincangan sedang dijalankan dan firma itu hanya mahukan pembayaran jika pesawat dijumpai.


Jumaat, 14 Julai 2017

Serpihan ditemui di Seychelles bukan milik pesawat MH370

Khairuddin Mohd Amin
Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
 

KUALA LUMPUR – Malaysia mengesahkan serpihan yang ditemui di Seychelles bukan serpihan daripada pesawat MH370 yang hilang lebih tiga tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya telah menghubungi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Seychelles (SCAA) bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Menurutnya, pihak berkuasa itu telah berkongsi maklumat terperinci selain menyediakan beberapa gambar serpihan pesawat terbabit.

“Pasukan penyiasatan MH370 telah melakukan penilaian terhadap gambar-gambar itu dan mengesahkan bahawa serpihan tersebut bukan milik pesawat Boeing 777 dan enjin Rolls Royce,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Serpihan yang dipercayai serpihan pesawat MH370 itu ditemui para saintis yang sedang mengkaji burung dan penyudi Farqhar, salah sebuah pulau di Seychelles.

Jurucakap agensi yang menguruskan semua pulau di Seychelles, Michael Payet berkata, serpihan terbesar berukuran 120 sentimeter (sm) panjang dan 30 sm lebar dan ia kelihatan seperti aluminium dan gentian karbon.

Pesawat Boeing, B777 milik Malaysia Airlines yang membawa 239 penumpang, termasuk anak kapal, hilang pada Mac 2014 tidak lama selepas berlepas dari Kiala lumpur menuju ke Beijing. – MalaysiaGazette

Rabu, 8 Mac 2017

Malaysia belanja RM456 juta cari MH370

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM456 juta dibelanjakan untuk membiayai operasi pencarian MH370 yang hilang dalam tragedi misteri yang berlaku tiga tahun lalu, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
 
Katanya lagi, pencarian di dasar laut seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi melibatkan Malaysia, Australia dan China.
 
Operasi itu bagaimanapun ditangguhkan pada 17 Januari lalu.
 
"Keputusan menangguhkan operasi itu seiring dengan keputusan Mesyuarat Menteri Tiga Pihak antara Malaysia, Australia dan China yang diadakan Julai 2016.
 
"Menerusi mesyuarat itu, tiga negara terlibat bersetuju mempertimbangkan untuk meneruskan operasi sehingga mendapat bukti dan petunjuk baharu," katanya menjawab soalan William Leong (PKR-Selayang) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
 
Leong bertanyakan kos yang dibelanjakan untuk operasi pencarian MH370 dan sama ada laporan mengenainya akan diedarkan kepada umum.
 
Kata Tiong Lai, susulan keputusan menangguhkan pencarian itu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan menerajui pasukan tindak balas bagi memantau jika ada petunjuk atau bukti baharu berkaitan pesawat yang hilang itu.
 
"Pasukan penyiasat sentiasa telus dan adil, malah semua maklumat dikongsi bersama.
 
"Bermakna, dakwaan bahawa Malaysia tidak menyerahkan maklumat penting siasatan kehilangan MH370 kepada pihak berkuasa di Australia adalah tidak benar," katanya.
 

Selasa, 7 Mac 2017

Waris penumpang MH370 saman MAS, empat yang lain

ISMA WEB
 


KUALA LUMPUR – Waris penumpang MH370 mengambil tindakan undang-undang menyaman syarikat penerbangan Malaysia Airlines System Bhd (MAS) dan empat yang lain sebagai ganti rugi ke atas kehilangan pesawat malang berkenaan.

Mereka menyifatkan bahawa kehilangan pesawat MH370 dan semua 239 penumpang dan anak kapal tidak akan berlaku jika tiada kecuaian dilakukan oleh pihak MAS, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan dalam mengawasi ruang udara Malaysia.

Mereka menuntut ganti rugi atas kesalahan defendan yang didakwa menyebabkan waris penumpang menderita kerugian sokongan kewangan, kasih sayang keluarga, kemudaratan psikologi dan trauma.

Waris berkenaan memfailkan saman tersebut di pejabat pendaftar sivil Mahkamah Tinggi hari ini melalui peguam utama mereka, Leong Yeen San dan Louis Lim.

Dua plaintif, warga China, Jiang Hui, 44, dan Xu Jinhong, 45,- kedua-duanya menganggur – hadir di kompleks mahkamah untuk proses pemfailan saman.

Jiang berkata, dia kehilangan kerja ekoran mencari kebenaran mengenai kehilangan pesawat malang berkenaan, dan terpaksa menjalani sesi kaunseling untuk mengatasi kesedihan atas kejadian itu.

Menerusi dokumen mahkamah itu, mereka berkata, 15 penumpang menaiki pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.

Mereka berkata, MAS adalah pemilik dan pengendali penerbangan serta bertanggungjawab untuk pengurusan dan operasi selamat.

Pada 29 Januari 2015, Ketua Pengarah DCA mengisytiharkan bahawa pesawat MH370 sebagai kemalangan dan ke semua penumpang termasuk anak kapal dianggap telah terkorban.

Pesawat malang berkenaan dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.


Sabtu, 4 Mac 2017

Liow: Waris mangsa nahas MH370 boleh cari sendiri tetapi...


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kerajaan terbuka untuk menerima cadangan sekiranya waris ingin membuat carian sendiri terhadap mangsa pesawat MH370.

Bagaimanapun, Liow berkata, beliau berharap agar mana-mana waris dapat memberikan cadangan terlebih dahulu mengenai perkara berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan.

"Kita menerima bantuan daripada sesiapa sahaja. Semua orang mempunyai cara masing-masing untuk mencari MH370.

"Saya juga telah mengadakan perbincangan dan dialog yang baik bersama waris, dan kami mempunyai pelbagai interaksi dan mereka (waris) telah bangkitkan satu cadangan dan ia cadangan yang bagus kepada kita dan kita akan mempertimbangkannya," katanya.

Liow berkata demikian selepas menghadiri Hari Memperingati MH370 di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita yang bertanya tentang usaha keluarga waris mangsa penerbangan berkenaan yang ingin membiayai sendiri pencarian MH370.

Isnin, 27 Februari 2017

Mahkamah Rayuan perintah MAS serah dokumen kepada waris penumpang MH370

 Bernama

Waris 32 penumpang memohon untuk mendapatkan 37 dokumen, termasuk komunikasi, koresponden, dokumen dan bahan lain, nota, memorandum, dokumen dalaman dan laporan penyiasat, yang mempunyai kaitan dengan penerbangan MH370.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Malaysian Airline System Bhd (MAS) untuk menyediakan dokumen berkaitan penerbangan MH370 kepada 76 waris penumpang pesawat berkenaan.

Panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan MAS untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi pada 8 Sept tahun lepas.

“Kami dapati tiada sebab mendesak atau substantif untuk mengganggu perintah Mahkamah Tinggi yang dibuat berdasarkan pertimbangan,” katanya.

Beliau berkata tiada kekhilafan oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam membuat keputusan mengikut pertimbangannya.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Abdul Rahman Sebli dan  Zaleha Yusof, memerintahkan MAS supaya membayar kos RM10,000.

Waris 32 penumpang memohon untuk mendapatkan 37 dokumen, termasuk komunikasi, koresponden, dokumen dan bahan lain, nota, memorandum, dokumen dalaman dan laporan penyiasat, yang mempunyai kaitan dengan penerbangan MH370.

Anggota keluarga terdiri daripada 66 warga China, lapan warga India dan dua warga Amerika Syarikat, mengambil tindakan undang-undang terhadap MAS, Malaysian Airlines Berhad (MAB), Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan, kerana didakwa cuai dan melanggari tugas.

Mereka memohon ganti rugi khas, ganti rugi am, kos perkabungan dan kos lain.

Penerbangan Kuala Lumpur-Beijing yang membawa 239 penumpang dan anak kapal diisytiharkan hilang selepas lenyap daripada paparan radar pada 8 Mac 2014.

Peguam Saranjit Singh mewakili MAS manakala peguam Tommy Thomas mewakili anggota keluarga penumpang.

Peguam kanan persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi mewakili DCA, TUDM dan kerajaan.-Bernama

Khamis, 26 Januari 2017

Pencarian MH370 kembali ke rancangan asal

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, para pegawai dan pakar pencarian akan terus menganalisis kesemua data yang ada untuk mencari MH370.
 
"Kita menggantung pencariannya agar kita boleh kembali ke rancangan asal dan mengkaji semula data pencarian laut dalam, data serpihan, corak hanyutan dan data satelit.
 
"Biro Keselamatan Pengangkutan Australia akan terus menganalisis sebarang data yang mereka miliki sementara Pertubuhan Saintifik dan Kajian Komanwel akan terus menganalisis corak hanyutan serpihan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya Anih Bhd di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, Malaysia telah menubuhkan pasukan tindak balas yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman untuk melihat serpihan dan menghubungi kembali semua negara yang berada di sekitar Lautan Hindi bagi membantu Kuala Lumpur dalam mencari hasil tinggalan pesawat Malaysia Airlines itu.
 
Beliau yang baru kembali daripada Perth, Australia setelah bertemu dengan anak kapal terakhir yang meninggalkan kawasan pencarian, berkata pihak berkuasa Australia telah bersetuju untuk terus bekerjasama dengan Malaysia bagi menyelesaikan apa yang disifatkan sebagai misteri terbesar dalam sejarah penerbangan moden itu.
 
Tiong Lagi berkata, kementeriannya akan mengadakan sesi dialog dengan saudara mara mangsa MH370 bagi menangani keprihatinan dan menjawab persoalan terutamanya yang berkaitan penggantungan usaha pencarian.
 
"Saya telah mengarahkan KP DCA untuk bekerjasama dengan ATSB (Biro Keselamatan Pengangkutan Australia) dan Malaysia Airlines Bhd untuk memberi penjelasan kepada keluarga mangsa MH370.
 
"Kita akan merancang siri dialog dengan saudara mara mereka selepas Tahun Baru Cina mengenai pencarian kita. Kita tidak mahu mereka berfikir yang kita menggantung usaha pencarian begitu sahaja tanpa sebarang perkembangan. Kita mahu mencari jawapan bagi misteri ini bersama mereka," katanya.
 
Selasa lalu, Malaysia, Australia dan China mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengumumkan penggantungan usaha pencarian pesawat Boeing 777-200ER selepas tidak berhasil meneroka kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
 
Pesawat MH370 hilang daripada radar bersama 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam penerbangan menuju Beijing daripada Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.