Ahad, 20 Januari 2019

Najib: Saya tak ada 'laskar siber' rasmi

 
   

Bekas perdana menteri Najib Razak memanjatkan rasa syukur apabila berkata beliau kini semakin diterima oleh rakyat.

Malah, kata Najib, rakyat jugalah yang menjadi pembela dirinya setiap kali beliau diserang di media sosial memandangkan dia tidak mempunyai pasukan unit media siber atau biasa disebut sebagai laskar siber (cybertrooper) rasmi.

“Saya tak ada cybertrooper rasmi langsung. Jadi komen-komen (di media sosial) boleh dikatakan organik, datang dari rakyat sendiri.

“Sebab itulah (apabila) orang serang saya, katalah (seperti) Khalid Abd Samad (menteri wilayah persekutuan), yang bela saya rakyat sendiri.

“Saya anggap itu sebagai satu hal yang tak pernah dilihat sebelum ni. Alhamdulillah, rakyat boleh terima apa yang saya telah dan sedang buat,” katanya dalam satu sesi ramah mesra bersama penyokongnya di The Podium Damansara dekat ibu negara malam ini.

Pejuang siber tak berbayar

Najib berkata demikian sebagai menjawab permintaan salah seorang penyokongnya yang meminta beliau memberi kata-kata semangat kepada ‘cytro’ (singkatan cybertrooper) tidak rasminya yang sering menyokongnya di media sosial.

Biarpun pada mulanya tidak memahami istilah 'cytro’ sebelum dijelaskan oleh penyokongnya, Najib memberitahu sokongan ‘pejuang siber tidak berbayar’ kepadanya menggambarkan isi hati sebenar rakyat.

Setelah gagal memimpin BN untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 dilangsungkan pada 9 Mei tahun lalu, Najib dilihat semakin aktif di media sosial.

Paling baru, Najib dilihat berbalas serangan dengan Khalid semasa kunjungannya ke Cameron Highlands bagi membantu BN dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) di situ.

Antaranya, dalam satu gambar yang dikongsi mereka berdua, Najib menggelarkan Khalid sebagai tauke Harapan Coin sebelum dibalas Khalid yang menggelarnya tauke 1MDB.

Untuk rekod, Najib ialah presiden pertama Umno yang pertama gagal mendapat mandat daripada rakyat untuk menerajui kerajaan selepas BN berkuasa selama enam dekad.


Dengan pendekatan lebih santai, Najib dilihat semakin mendapat perhatian di media sosial.

Baru-baru ini, Najib tiba-tiba sinonim dengan ungkapan 'malu apa bossku’ berikutan satu posternya menunggang sebuah motosikal yang mengandungi ungkapan tersebut menjadi tular.

Malah, sepanjang sesi ramah mesra tadi berlangsung, laungan 'bossku’ diulang berkali-kali oleh penyokong Najib yang sentiasa mengerumuninya.

Ketika menjawab soalan salah seorang penyokongnya, Najib menyifatkan rakyat mulai faham bagaimana keputusan yang diambilnya sebagai perdana menteri adalah demi menyelamatkan ekonomi negara, termasuklah cukai barangan dan perkhidmatn (GST).

Jelas Najib, setelah GST dimansuhkan, rakyat mula sedar bahawa bahawa harga tidak turun seperti yang mereka harapkan.

“Kos sara hidup tak turun, tapi semakin meningkat, bawah zaman regim cukai jualan dan perkhidmatan (SST) lebih berat.

“Sekarang orang dah faham apa yang BN dan saya katakan memang benar,” katanya lagi.

Najib turut mengimbau bagaimana GST dan suntikan dana berjaya menyelamatkan Malaysia daripada kemelesetan ekonomi ketika pentadbirannya dahulu.

“Saya selamatkan negara daripada terjerumus dalam kemelesetan ekonomi sebanyak dua kali- tahun 2008 dan ketika harga minyak jatuh pada tahun 2015.

“Kita selamat, kerana kita melakukan suntikan dana pada tahun 2008, dan apabila kita perkenalkan GST (pada tqhun 2015),” tambah Najib.


Tiada ulasan: