Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan setakat gagal menunaikan janji memansuhkan Akta Hasutan, tetapi kini bersikap berat sebelah dalam pelaksanaanya, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Beliau membandingkan tindakan anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam yang mendakwa kerajaan cuba menyembunyikan fakta berkenaan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, dengan Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh yang mendakwa kerajaan gagal mengarahkan polis membuka semula siasatan kematian Teoh Beng Hock.
Lokman semalam ditahan bawah Akta Hasutan ekoran dakwaan itu dan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
"Lokman dipanggil untuk soal siasat oleh polis... Ditangkap, ditahan dan bermalam di lokap.
"Ramkarpal berkata beliau mengesyaki kerajaan cuba sembunyikan kebenaran tentang kematian Teoh. Tetapi langsung tidak ada tindakan yang dilakukan kerajaan PH kepada pemimpin DAP ini.
"Walaupun PH sekali lagi mungkir janji manifesto untuk mansuh akta hasutan, tetapi jangan memilih kasih dan menggunakan akta ini untuk berulang kali menindas pemimpin dan penyokong pembangkang," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Beliau berkata ketika BN mentadbir negara, pemimpin pembangkang yang mempersoalkan isu kematian Teoh tidak pernah ditahan bawah Akta Hasutan.
"Pada 2014 polis juga memanggil Lim Kit Siang bawah Akta Hasutan untuk soal siasat atas kenyataannya yang mempersoal keputusan mahkamah mengenai kematian Teoh.
"Pada masa itu, Kit Siang tidak ditangkap atau didakwa."
Begitu juga dengan pemimpin PH yang lain yang cuba mengaitkannya dengan kematian beberapa individu lain seperti model Mongolia Altantuya Shaariibuu dan timbalan pendakwa raya Kevin Morais, katanya.
"Bagaimanapun mereka tidak dipanggil dan ditangkap bawah Akta Hasutan atau dipaksa bermalam di lokap," kata anggota parlimen Pekan itu.
Katanya lagi, semua pihak berhak untuk menuntut kebenaran kematian tragis Teoh dan Adib "tanpa dipaksa untuk bermalam di lokap."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan