Jumaat, 11 Januari 2019

Amanah sokong ketegasan PM tolak atlet Israel

MALAYSIAKINI

   

Walaupun sukan ditegaskan sebagai alat memupuk persahabatan tanpa mengira latar agama, bangsa dan negara, namun pengecualian boleh dibuat ke atas kerajaan yang mengamalkan dasar menindas.

Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah Raja Bahrin Shah Raja Ahmad berkata itu yang berlaku apabila Malaysia tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini.

"Negara yang mengamalkan dasar aparteid tidak memenuhi kriteria untuk memupuk semangat kesukanan dan persaudaraan antarabangsa.

"Hujah untuk memupuk semangat persaudaraan melalui sukan antara atlet adalah terbatal (disqualified) dengan tersendirinya melalui amalan aparteid serta diskriminasi berterusan kerajaan Israel," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Dr Mahathir Mohamad menegaskan Putrajaya tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak antara 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Kata perdana menteri sekiranya skuad Israel itu berdegil mahu menyertai kejohanan berkenaan maka ia adalah satu kesalahan.

“Kita tetap tidak benar... Kalau mereka mai (datang) juga ia adalah satu kesalahan," katanya.

Sebab itu disegani dunia
 
Malah kata Mahathir Malaysia juga bersedia jika penganjur menarik balik hak penganjuran kejohanan tersebut jika mereka tidak berpuas hati dengan pendirian kerajaan.

Raja Bahrin berkata keputusan kerajaan itu adalan konsisten sebagai tanda kebersamaan dengan rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis Israel.

"Ini jauh berbeza dengan sikap lemah kerajaan Malaysia semasa kerajaan Najib Razak yang membenarkan beberapa pegawai kanan kerajaan Israel menghadhiri konvensyen di Malaysia pada tahun lepas," katanya.
Beliau yang juga timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan menambah Israel sendiri tidak menghormati rakyat Palestin yang menjadi penduduk asal di wilayah tersebut.

Sebaliknya kata Raja Bahrin penduduk Palestin dizalimi, ditangkap, dihalau malah ramai dibunuh di bumi mereka sendiri.

"Jika tiada sikap menghormati, menyantuni dan meraikan sesama rakyat tempatan negara sendiri, di manakah letaknya semangat dan roh persahabatan serta persaudaraan antara atlet Israel di peringkat antarabangsa?" katanya.

Menurut Raja Bahrin, sejak dulu lagi Mahathir mengambil pendirian tegas serta tekal dalam isu kezaliman Israel.

"Kerana itu Malaysia dahulu dihormati dan disegani dunia Islam dan Barat," katanya.


Tiada ulasan: