Selasa, 15 Januari 2019

Lepas muflis risau Iqram kini pada harta yang ada

MALAYSIAKINI

   

Iqram Dinzly mendedahkan di terpaksa mencari jalan untuk menyelamatkan harta bendanya yang masih ada selepas diisytihar muflis oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut pelakon itu, keputusan berkenaan diterima selepas dia gagal membayar cukai pendapatan sepanjang 10 tahun pembabitannya dalam bidang lakonan, dengan berjumlah RM77,000.

“Lagi pun saya memang tak mampu nak bayar dan tak boleh nak buat apa-apa.

“Cuma sekarang, saya kena cari jalan macam mana nak selamatkan aset yang ada seperti rumah dan kereta. Ini saja yang tinggal,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Bagaimanapun, Iqram mengaku kejadian itu berlaku disebabkan kesilapannya sendiri yang tidak berusaha untuk mengambil tahu bagaimana prosedur pembayaran sepatutnya dilakukan.

“Diakui apa yang berlaku atas silap sendiri, tetapi jujur saya katakan selama ini memang tidak tahu prosedur pembayaran.

"Saya hanya tahu kumpul resit saja,” katanya.

Dah serik berlakon

Terdahulu, pelakon telefilem Jangan Ambil Nyawa Aku itu berkata, dia mengetahui keputusan selepas ia disampaikan oleh peguam LHDN di Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.

“Saya sampai lambat, jadi peguam LHDN hanya serahkan keputusan mahkamah. Saya tak tahu nak cakap apa. Mahkamah sudah putuskan, jadi saya kena terima,” katanya.

Kata pemilik nama penuh Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin itu, notis pemberitahuan mengenai bayaran cukai pendapatan itu diterima sejak tiga tahun lalu.
Menurut Iqram, 37, pada asalnya cukai pendapatan itu berjumlah hampir RM200,000 tetapi kemudian dikurangkan sebanyak RM133,000.

“Selepas dapat notis saya terus disenarai hitam. Ketika itu, saya melantik ejen untuk berurusan dengan pihak LHDN. Dapatlah kurangkan hingga RM67,000.

“Namun, saya diperintahkan ke Mahkamah Majistret Ipoh tahun lalu dan diarahkan membayar jumlah itu dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Kata Iqram lagi, dua minggu lalu dia pergi ke LHDN di Jalan Duta bagi berbincang sekali lagi mengenai perkara itu namun menerima hasil yang negatif.

“Mereka cakap saya tiada inisiatif untuk membayar.

“Disebabkan itu, jumlah meningkat semula kepada RM77,000 dan saya diberi tempoh 10 hari untuk menjelaskannya. Jika gagal, saya diisytihar muflis,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan kembali berlakon bagi memudahkannya menjana pendapatan sekaligus membolehkannya membayar hutang berkenaan, Iqram sebaliknya kukuh dengan pendiriannya.

Katanya, dia tidak akan kembali berlakon kerana karier itulah yang menyebabkannya jatuh muflis.

“Saya takkan kembali berlakon. Disebabkan saya menjadi selebriti saya diisytihar bankrap,” katanya.
HIB
 
 

Tiada ulasan: