SELEPAS diberi
percubaan 11 tahun memerintah Kelantan, dalam tahun 1990 Umno kalah
besar di Kelantan. PAS yang menang semula kali itu mewarisi hutang yang
banyak dari kerajaan yang digantinya, seperti banyaknya hutang yang
ditinggalkan oleh kerajaan BN kepada kerajaan Pakatan Harapan apabila
Umno kalah pada PRU14 tahun 2018.
Walaupun Umno pernah kalah di
Terengganu tahun 1999 dan Kedah tahun 2008, tetapi kalah di Kelantan
tahun 1990 itu boleh dikira kalah mati pertamanya. 28 tahun kemudian
ialah kalah pula di Putrajaya kecuali dua buah negeri Pahang dan Perlis.
Sehingga 28 tahun ia tidak boleh berkuasa semula di Kelantan, apakah ia boleh menebus kekalahannya di Putrajaya itu?
Hanya Allah yang tahu.
Ketika
ia kalah Mei 2018 ia masih beroleh anggota parlimen (MP) yang besar,
maka tidak diagak kalahnya itu satu kalah mati. Tetapi selepas tujuh
bulan hilang kuasa, dekat separuh MPnya tadi meninggalkan partinya
menyebabkan kembali berkuasa bertambah payah.
Jika ia menunggu
28 tahun gagal kembali di Kelantan, payah memikirkan ia boleh kembali ke
Putrajaya dalam masa 28 tahun akan datang dan tidak dapat dipastikan ia
ada lagi atau tidak masa itu.
Semasa ia kalah teruk di Kelantan
28 tahun dulu ia masih punya panglima gagah berani yang ramai. Ia ada
Dr Mahathir, ada Ghafar Baba, ada Anwar Ibrahim, ada Tengku Razaleigh
dan ada Najib.
Yang tinggal Tengku Razaleigh mungkin ada gusi
saja. Mahathir dan Anwar hari ini ikut menggigit daging Umno hingga
tinggal tulang.
Sekalipun Umno dikalahkan pembangkang pimpinan
bersama Mahathir-Anwar tetapi Umno tidak lumpuh masa ia kalah itu.
Tetapi kini ia seolah dilumpuhkan oleh orang Umno sendiri dan
sesungguhnya kini Umno yang tinggal digigit oleh orang-orang Umno
sendiri yang kulitnya Umno tapi hatinya Umno palsu.
Yang hendak
menghapuskan Umno sekarang bukan PAS dan bukan DAP. Umno tak mati oleh
PAS dan DAP. Yang sedang hendak mematikan Umno ialah dua gergasi Umno
dulu, Mahathir dan Anwar.
Dalam Umno sudah tiada gergasi. Zahid
Hamidi seolah gergasi kecil berdepan gergasi besar. Dia tersepit dalam
khemah Najib. Jika Najib timbul dia pun timbul, jika Najib tenggelamlah
dia bersama. Bolehkah Dato’ Muhamad Hasan yang menjalankan kerja
Presiden Umno menjelang PRU15 nanti jadi gergasi?
Orang kata dua
gergasi besar dalam suasana berlaga. Sekalipun dua gergasi saling
berlaga, Umno yang tiada gergasi boleh mati tersepit.
Usahlah
diramalkan hari depan Umno. Ia terus berada dalam suasana yang susah.
Bolehkah kita bayangkan politik dan pilihan raya selepas PRU15 nanti
berlangsung tanpa Umno. Atau mungkin dalam usia Mahathir dan Anwar nanti
ada lagi Umno dalam pilihan raya?
Sama saja Mahathir ada, Anwar ada dan mereka berdua tiada, peranan Umno mungkin ada dalm sejarah.
Bintang
yang masih tinggal dalam Umno ialah Khairy Jamaludin. Dia boleh jadi
bintang jika Umno berorang. Jika Umno sudah tidak berorang bintang pun
tidak boleh jadi bintang.
Jika Umno sudah tiada 20 tahun lagi,
apa yang ada? Bersatu dan PKR ada. Kedua-duanya bergantung pada adanya
dua gergasi. Yang pasti ada DAP.
Maka yang terus ada dan
menunggu ialah PAS. Ia boleh bangun dan rebah. Lepas rebah ia bangun
semula. Jika Umno ada lagi pilihannya adalah PAS. 69 tahun lalu Umno
ikut menubuhkan PAS. Mungkin peranannya dulu tidak sia-sia. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan