Sabtu, 5 Januari 2019

Akhirnya tunduk kepada desakan rakyat

SHAHIR ADNAN

MENTERI Kewangan, YB Lim Guan Eng mengumumkan, kerajaan memutuskan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan cepat selaras aliran penurunan harga petroleum di pasaran dunia.
 
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mengingatkan rakyat Malaysia, terutama penyokong tegar Pakatan Harapan, penurunan harga minyak ini bukanlah disebabkan “kepakaran” pemimpin Pakatan Harapan untuk menurunkan harga, tetapi ia adalah berdasarkan penurunan harga minyak di pasaran dunia.
 
Harga minyak dunia turun jika dibandingkan bulan Oktober ke Disember 2018. Harga minyak satu barrel berdasarkan harga minyak dunia telah jatuh daripada USD82 kepada USD60 pada bulan Disember. Terkini, harga minyak satu barrel adalah sekitar USD50.
 
Berdasarkan kenyataan media Kementerian Kewangan bertarikh 4 Januari 2019, harga runcit RON 95 turun 27 sen kepada RM1.93 seliter. Jadi benarlah bahawa rakyat telah membayar hampir 30 sen seliter sebagai “cukai minyak” kepada kerajaan sejak bulan November 2018.
 
Kerajaan sebenarnya mempunyai masa selama 2 bulan untuk memberitahu rakyat dan mengurangkan beban rakyat dengan menurunkan harga minyak di stesen minyak, tetapi YB Menteri dan Kerajaan memilih untuk diam membisu dan menindas rakyat.
 
Namun begitu, rakyat bernasib baik apabila mereka masih ada parti-parti pembangkang yang mengutarakan hal ini secara matang dan berfakta kepada kerajaan. Ternyata gabungan parti-parti politik pembangkang kini menjadi pembangkang yang matang.
 
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mengucapkan tahniah kepada YB Menteri Kewangan kerana tunduk kepada desakan rakyat untuk menurunkan harga runcit minyak, bersesuaian dengan penurunan harga minyak dunia.
 
Namun begitu, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa YB Menteri menjelaskan kepada rakyat isu “cukai minyak” yang terpaksa ditanggung oleh rakyat selama 2 bulan sejak November 2018.
 
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia juga menggesa kerajaan dan YB Menteri bersikap telus dan berkongsi dengan rakyat tentang pengiraan dalam penetapan harga runcit minyak secara mingguan.
 
Kita tidak mahu berlaku salah faham antara rakyat dan kerajaan dalam isu yang membabitkan kebajikan rakyat. Kami komited untuk terus menjadi pembangkang yang matang dan mendengar denyut nadi rakyat.
 
Demi Bangsa Malaysia!
 
*SHAHIR ADNAN,Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia,
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
 
 HARAKAHDAILY


Tiada ulasan: