Sabtu, 5 Januari 2019

Larangan merokok: Denda RM500 bagi pesalah kali pertama

Lee Boon Chye berkata, saman itu akan dikeluarkan kepada 
perokok ingkar, selepas pendekatan memberi amaran secara 
lisan selama 6 bulan pertama berakhir. (Gambar Bernama)
 
CAMERON HIGHLANDS: Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan saman RM500 kepada pelanggan yang melakukan kesalahan pertama dengan merokok di premis makanan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata saman itu akan dikeluarkan kepada perokok ingkar, selepas pendekatan memberi amaran secara lisan terlebih dahulu kepada golongan itu berakhir.

“Bagi kesalahan kali pertama, perokok akan dikenakan saman oleh penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah di kawasan terbabit dan perlu membayar saman itu dalam tempoh 2 minggu.

“Sekiranya saman itu tidak dijelaskan dalam tempoh tersebut atau perokok yang didapati mengulangi kesalahan sama, mereka akan dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, semalam.

Pada 6 November lalu, Lee berkata, pihaknya menggunakan pendekatan memberi amaran terlebih dahulu kepada perokok dalam 6 bulan pertama selepas larangan merokok di semua premis makanan dikuatkuasakan 1 Januari lalu.

Sementara itu, Lee berkata, pihaknya kesal dengan insiden seorang pelayan restoran ditampar pelanggan hanya kerana menegur sekumpulan lelaki merokok di dalam sebuah restoran di Shah Alam, Selangor, Selasa lalu.

Beliau menyifatkan tindakan pelanggan menampar pelayan restoran berusia 25 tahun itu sebagai tidak bertamadun hanya kerana ditegur tidak merokok di kawasan larangan.

“Kami serahkan (kes itu) kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dan tindakan lanjut terhadap individu tersebut kerana perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku.”

Dalam perkembangan lain, Lee berkata, air paip yang diproses menerusi loji rawatan air Cameron Highlands selamat digunakan kerana pemeriksaan berkala Bahagian Kejuruteraan Kementerian Kesihatan mendapati ia mematuhi standard kesihatan ditetapkan.

“Ada penduduk di sini yang mengadu air di sini keruh, namun air itu keruh disebabkan rangkaian pengedaran saluran paip air yang tidak dijamin kebersihannya dan bukan dari loji rawatan air.

Tiada ulasan: