Lelaki berusia 32 tahun sertai kumpulan halang laluan kereta peronda polis keluar dari kawasan kuil dengan kekerasan
PETALING JAYA
– Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini
atas dua pertuduhan menghalang penjawat awam dan melakukan rusuhan di
Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor, bulan lalu.
M Chandran, 32, bagaimanapun mengaku
tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan
Majistret Nurshahirah Abdul Salim.
Dia bersama-sama dua orang yang telah
dituduh dan beberapa lagi yang masih bebas, didakwa telah menghalang
penjawat awam iaitu Pegawai Kanan Polis, Inspektor Mohd Nazmi Zulkafli,
Sarjan Mohamad Faiz Abdul Rahim dan Kpl Ahmad Zamran Mat daripada
menjalankan tugas-tugas dan fungsi jawatan mereka.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa
bersama-sama 50 orang yang telah dituduh dan beberapa lagi yang masih
bebas, sebagai satu ahli kumpulan yang menyalahi undang-undang di mana
tujuan bersama adalah untuk menghalang laluan kenderaan kereta peronda
polis untuk keluar dari kawasan kuil berkenaan dengan menggunakan
kekerasan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan
di laluan hadapan kuil itu di USJ 25, Subang Jaya pada 1.30 petang, 26
November tahun lalu mengikut Seksyen 186 dan 147 Kanun Keseksaan yang
masing-masing membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda yang
boleh sampai RM10,000 serta penjara maksimum dengan tempoh sama atau
denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Majistret
Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, seorang penganggur turut mengaku tidak
bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan sebuah
kenderaan di kuil sama, pada 4.30 pagi, 25 November tahun lalu.
A Janagan, 33, bersama beberapa orang
lagi yang masih bebas didakwa merosakkan kenderaan pacuan empat roda,
Nissan Navara dengan nombor pendaftaran, WVS 3776 milik syarikat Modular
Construction Technician.
Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun
Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau
denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Chandran diikat
jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin manakala
Janagan dibenarkan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta
syarat tambahan melaporkan diri dua kali sebulan di balai polis
berhampiran.
Mahkamah menetapkan 15 Februari untuk sebutan semula kesemua kes.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan
Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee dan Nor Baizura Mohd Saubian manakala
kedua-dua tertuduh diwakili peguam R Balamurali. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan