Sabtu, 12 Januari 2019

'Dr M tak ke Istana Negara tanpa diundang pada malam 9 Mei'

MALAYSIAKINI

   

Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Dr Mahathir Mohamad tidak ke Istana Negara pada lewat malam 9 Mei lalu.

Kenyataan PMO itu susulan dakwaan bekas Ketua Hakim Negara Abdul Hamid Mohamad bahawa Mahathir ke istana tanpa diundang untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

"PMO ingin menjelaskan dakwaan Hamid tidak berasas dan Mahathir tidak ke Istana pada malam itu.

 Beliau hanya ke Istana lewat tengah hari keesokannya untuk majlis angkat sumpah," kata kenyataan itu.

Hari ini Hamid dalam satu rencana menyatakan apa yang menurutnya kesilapan yang dilakukan Sultan Muhammad V ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Beliau antaranya mendakwa Mahathir telah pergi ke Istana Negara pada malam 9 Mei, sebaik selepas keputusan pilihan raya menunjukkan Pakatan Harapan (PH) menang majoriti mudah di Parlimen.





Beliau mendakwa Mahathir berbuat demikian kerana bimbang ada anggota parlimen yang lompat parti, menyebabkannya hilang majoriti.

“Bagi saya, adalah memalukan bagi seorang bakal perdana menteri untuk pergi tanpa diundang, pada waktu malam, mungkin untuk mengejutkan Yang di-Pertuan Agong jika baginda sedang beradu, untuk mengangkat sumpah beliau sebagai perdana menteri.

“Kedua, Agong tidak sepatutnya nampak seperti menjalankan tugasnya di bawah tekanan. Seri Paduka berhak memuaskan dirinya siapa, menurut pendapatnya, mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen yang baru dipilih itu,” katanya.

Rencana itu disiarkan di laman peribadinya dan laman Umno Online hari ini.


Tiada ulasan: