Selasa, 8 Januari 2019

Anjing mati diracun: Tindakan terhadap haiwan harus berperikemanusiaan – MB

THE MALAYSIAN TIMES
 


SEREMBAN: Menteri Besar Aminuddin Harun hari ini berkata masalah anjing liar yang berkeliaran di bandar ini dan kawasan perumahan adalah tinggi dan perlu ditangani pihak penguat kuasa dengan cermat dan berperikemanusiaan.

Beliau berkata demikian mengulas kes beberapa ekor anjing mati dipercayai akibat diracun di sebuah taman perumahan dekat sini baru-baru ini yang tular dalam media sosial sejak Sabtu lepas, beliau
Seorang pencinta haiwan di ibu negara telah membuat laporan polis berhubung kes itu di Gombak.

“Apa-apa juga tindakan terhadap haiwan harus berperikemanusiaan. Jadi, kita kena
dipertanggungjawabkan terhadap nyawa setiap haiwan. Saya juga meminta pihak penguat kuasa agar segera mengambil tindakan atas aduan (gangguan dan ancaman anjing liar) yang diterima.

“Manakala apa juga haiwan termasuk anjing yang ingin ‘dilupuskan’ harus mengikut prosedur yang diterima oleh amalan antarabangsa,” katanya dipetik oleh Bernama.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru negeri Teo Kok Seong pula berkata sebuah tempat perlindungan haiwan akan didirikan di tanah milik kerajaan seluas kira-kira 81 hektar di Kuala Sawah, Rantau, lapor Bernama.

Katanya tempat perlindungan haiwan itu yang akan dikendalikan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kini sedang dalam proses pembinaan dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.

“Apabila siap kelak, anjing liar yang ditangkap akan ditempatkan di perlindungan haiwan yang baharu yang boleh menampung 500 ekor dalam suatu masa. Sekarang ini kita ada sebuah perlindungan haiwan di Seremban yang dikendalikan oleh pihak NGO. Cuma, perlindungan haiwan itu tidak dapat menampung bilangan anjing liar yang banyak.

“Jika dulu, kebiasaannya anjing liar ini akan ditangkap oleh pihak berkuasa tempatan dan disimpan di suatu tempat dalam satu jangka masa yang ditetapkan dan lepas itu kita akan dilupuskan. Tetapi, apa yang kita buat sekarang ialah kita akan tangkap anjing liar ini semasa operasi bersama dengan pihak NGO dan selepas itu, anjing liar tersebut kita akan serahkan kepada NGO berkenaan untuk mengendalikannya.

“Dengan cara ini kita dapat mengurus masalah anjing liar ini dengan lebih efektif dan berperikemanusiaan,” katanya.

Tiada ulasan: