Selasa, 8 Januari 2019

China tawar selamatkan 1MDB: Kabinet tak dimaklumkan

Norlaile Abd Rahman

xMGF09082018_KJREPORTPOLIS_01-681x454
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR- Kabinet tidak pernah dimaklumkan mengenai dakwaan mengatakan China menawarkan pelan penyelamat kepada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan sebagai timbal balas mereka mahu dianugerahkan dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Paip Gas Trans Sabah yang dijanjikan semasa Barisan Nasional (BN) memerintah.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sekiranya benar laporan Wall Street Journal (WSJ) dalam artikel bertajuk China Tawar Selamatkan 1MDB, perkara tersebut berlaku tanpa kelulusan kabinet.

Justeru, Ahli Parlimen Rembau itu meminta supaya dakwaan tersebut disiasat dengan teliti.

“Satu dakwaan yang besar dan perlu disiasat dengan teliti. Sebagai bekas ahli kabinet, saya boleh katakan kabinet tidak pernah dimaklumkan mengenai perjanjian dengan China mempunyai kaitan dengan pelan menyelamat 1MDB.

“Sekiranya memang ada bukti yang menunjukkan wujudnya perjanjian sedemikian, ianya berlaku tanpa kelulusan kabinet,” katanya dalam hantaran Twitternya hari ini.

Menjawab tuduhan seorang pengguna Twitter @AhmadMuzhaffar yang mengejek tweetnya sebagai pembohongan terbesar 2019, Khairy dengan tegas meminta supaya minit mesyuarat pertemuan antara pemimpin kanan China dan Malaysia seperti yang didakwa oleh Wall Street Journal itu dinyahrahsiakan supaya boleh dibaca oleh semua pihak.

“Minta kabinet nyahrahsia minit berkenaan dan kemudian kita boleh tahu siapa yang menipu,” tegas Khairy.

Hari ini, WSJ dalam satu artikel bertajuk China pernah tawarkan bantuan selamatkan 1MDB mendedahkan perkara itu berkata, ia berdasarkan kepada beberapa minit mesyuarat yang dikajinya.

Dalam minit-minit mesyuarat berkenaan, pegawai-pegawai China pernah memberitahu wakil-wakil Malaysia bahawa negara itu akan menggunakan pengaruhnya untuk meminta Amerika Syarikat dan beberapa negara lain menggugurkan pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak dan rampasan barangan milik 1MDB.

Malah, Beijing turut menawarkan untuk mengintip kediaman dan pejabat wartawan-wartawan media itu yang terlibat dengan siasatan 1MDB di Hong Kong, bagi mengetahui dalang yang membocorkan maklumat tersebut kepada mereka, menurut minit tersebut.

Sebagai balasan, WSJ berkata, Malaysia menawarkan kepentingan dalam projek landasan kereta api, projek paip minyak bagi One Belt, One Road untuk membina infrastruktur di luar negara.

Menurut WSJ lagi, dalam beberapa bulan kemudian Najib telah menandatangani projek landasan keretapi bernilai AS$34 bilion, saluran paip dan perjanjian lain dengan syarikat-syarikat negara China, yang akan dibiayai oleh bank-bank China dan dibina oleh pekerja-pekerja China
Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa sidang medianya pagi tadi memaklumkan tidak mendapat maklumat mengenai perkara tersebut.

Beliau berminat untuk melihat sendiri minit mesyuarat yang diperkatakan oleh WSJ dan berjanji akan menyiasat perkara tersebut.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: