Isnin, 25 Jun 2018

Umno Perak mahu Zahid jadi presiden?






Umno Perak mahu Zahid jadi presiden? 
Ahmad Zahid Hamidi, yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk, adalah satu-satunya calon presiden yang berasal dari Perak, yang kini memangku tugas-tugas presiden selepas Najib Razak letak jawatan, tiga hari selepas Umno dan Barisan Nasional hilang kuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight
UMNO Perak membayangkan akan mengangkat Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno walaupun itu bukan pendirian rasmi badan perhubungan Umno negeri itu, kata pengerusinya Dr Zambry Abd Kadir.

Zambry bagaimanapun enggan mengumumkan sokongan rasmi Umno Perak sebagai menghormati arahan pucuk pimpinan Umno yang ada pengumuman terbuka menyokong mana-mana calon presiden, supaya pemilihan terbuka dan pilihan akar umbi tidak dipengaruhi.

"Kita tidak ada stand untuk berpihak kepada mana-mana (calon). Ia adalah arahan (untuk tidak umumkan sokongan)... seperti mana yang diarahkan oleh Zahid selaku pemangku presiden Umno.

"Kita diminta tidak buat pengumuman untuk sokong siapa jadi presiden tetapi tentulah kita ada pilihan dan ada yang kita lebih suka, tentulah dari Perak," katanya ketika ditemui selepas sesi pengenalan calon pemilihan Umno kepada Umno Perak di Ipoh, hari ini.

Zambry menjawab soalan wartawan yang bertanya calon presiden mana satu yang jadi pilihan Umno Perak pada pemilihan parti 30 Jun ini.

Zahid, yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk, adalah satu-satunya calon presiden yang berasal dari Perak, yang kini memangku tugas-tugas presiden selepas Najib Razak letak jawatan, tiga hari selepas Umno dan Barisan Nasional hilang kuasa.

Bekas timbalan perdana menteri itu bersaing dengan dua lagi calon utama, bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah dalam persaingan lima penjuru. Dua lagi calon ialah ahli Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan ahli Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin.

Perak adalah antara negeri tumpuan dalam pemilihan Umno kerana mempunyai jumlah bahagian yang besar iaitu 24, selain Sabah (25), Johor (26), dan Selangor (22) daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara.

Zambry, yang juga ketua Bahagian Umno Lumut, berkata pemilihan Umno kali ini lebih terbuka tetapi perwakilan yang akan memilih perlu membuat penilaian demi kepentingan masa depan parti.

"Yang paling penting bagaimana mereka ini dapat membawa kesemua ahli Umno bekerja dan membetulkan kekurangan kita yang lalu seterusnya untuk membina semula Umno agar ia dapat diyakini," katanya lagi.

Penganalisis politik sebelum ini menjangkakan Zahid ada peluang cerah menang kerana mendapat sokongan sekurang-kurangnya di 15 bahagian di Sabah.

Beliau juga dilihat lebih popular dalam kalangan ketua bahagian, berbanding calon-calon lain.

Pada pemilihan Umno 2013, Zahid menang jawatan naib presiden dengan undi tertinggi dan hanya tidak dipilih oleh 3 daripada 191 bahagian.

Selepas penamaan calon ditutup pada 17 Jun lepas, lebih kurang 40% atau 74 ketua bahagian Umno menang tanpa bertanding kerana tidak dicabar.

Khairy Jamaluddin dalam laporan The Malaysian Insight hari ini menggesa perwakilan agar tidak membiarkan pemimpin-pemimpin di bahagian menentukan masa depan Umno dan perlu membuat keputusan sendiri mencorakkan kepimpinan parti.

Beliau bagaimanapun yakin ahli-ahli Umno di akar umbi akan menggunakan hak mereka untuk memilih pemimpin yang tepat tanpa campur tangan "hulubalang" dalam Umno.

Ini kerana katanya, pemilihan kali ini tidak sama dengan pemilihan yang sebelumnya, ketika Umno sekarang tidak lagi memegang kuasa selepas kalah dalam pilihan raya umum yang baru lalu.

"Saya yakin perwakilan biasa, maknanya perwakilan cawangan mempunyai pemikiran sendiri dan tidak  semestinya ikut arahan, jika ada, daripada mana-mana pihak.

"Mereka melihat antara sebab Umno berada dalam keadaan hari ini adalah kerana Umno tidak mengamalkan keterbukaan dalam mendengar suara akar umbi Umno, sebelum ini Umno seolah-olah terikat dengan suara daripada atas," katanya.

Ahmad Zahid Hamidi, yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk, adalah satu-satunya calon presiden yang berasal dari Perak, yang kini memangku tugas-tugas presiden selepas Najib Razak letak jawatan, tiga hari selepas Umno dan Barisan Nasional hilang kuasa.

Tiada ulasan: