Sabtu, 9 Jun 2018

Siapa sebenarnya berkuasa ke atas siasatan 1MDB, tanya peguam

 
Mereka mempersoal kuasa perundangan pasukan petugas PM dan jawatankuasa penasihat Majlis Penasihat Kerajaan.


Dua peguam mempersoalkan kedudukan undang-undang pasukan petugas khas dan jawatankuasa penyiasat yang ditubuhkan kerajaan.


PETALING JAYA: Pertindihan kerja 2 badan tidak rasmi kerajaan yang menyiasat skandal 1MDB boleh menyukarkan usaha membawa pihak terlibat ke muka pengadilan, kata 2 orang peguam hari ini.

Mereka menggesa semua penyiasatan diletakkan bawah peguam negara kerana beliau mempunyai kuasa perundangan untuk menyelia penyiasatan dan mengambil keterangan bagi menguatkan kes pendakwa terhadap pihak tertuduh.

Minggu lepas, sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan oleh Jabatan Perdana Menteri untuk menyiasat hal ehwal kewangan 1MDB. Sementara itu sebuah jawatankuasa berasingan turut diwujudkan oleh Majlis Penasihat Kerajaan.

Peguam S N Nair mempersoalkan terma rujukan pasukan petugas khas dan jawatankuasa itu, dan mencadangkan ia dimansuhkan atau diletakkan bawah kuasa peguam negara yang baru dilantik, Tommy Thomas.

Pasukan petugas berkenaan terdiri daripada bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed – kedua-duanya anggota sebuah pasukan petugas sebelum ini – selain Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru dilantik, Datuk Mohd Shukri Abdull dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas, Datuk Abdul Hamid Bador.

Mereka ditugaskan dengan penyiasatan, pengesanan kewangan dan pemerolehan semula aset yang dikaitkan dengan kehilangan dana 1MDB di dalam dan luar negara, dan dilaporkan telah mengadakan perbincangan dengan pegawai daripada Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) dan Jabatan Kehakiman AS (DoJ).

Sementara itu, jawatankuasa penasihat kepada Majlis Penasihat Kerajaan pula terdiri daripada seorang lagi bekas peguam negara, Tan Sri Abu Talib Othman, 3 pakar kewangan dan seorang aktivis anti-rasuah.

Nair berkata, hanya agensi penyiasat sah boleh melakukan penggeledahan, memerintahkan perampasan eksibit, melakukan tangkapan, merekodkan kenyataan dan menyediakan kertas penyiasatan rasmi.

“Peguam negara adalah pihak berkuasa undang-undang yang boleh menyelia dan jika perlu meminta keterangan lanjut bagi menguatkan kes pendakwa,” katanya.

Nair mempersoalkan kedudukan dan kuasa perundangan pasukan petugas dan jawatankuasa penasihat yang ditubuhkan itu kerana ia tidak ditubuhkan bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 atau mana-mana undang-undang lain. Paling baik ia hanyalah kumpulan penasihat ad-hoc, katanya.

Seorang lagi peguam, M Visvanathan berkata, kewujudan pasukan itu mungkin menimbulkan dakwaan mengubah bukti atau campur tangan dalam tugas agensi penguatkuasa undang-undang sebenar.

Katanya kerajaan hendaklah memastikan kedaulatan undang-undang terpelihara dan pihak yang akan didakwa bakal berdepan dengan bukti yang boleh dipercayai.

“Jika peruntukan undang-undang tidak dipatuhi, lebih baik pasukan petugas dan jawatankuasa itu dibubarkan,” katanya, dan menambah penyiasat dari polis, SPRM dan Bank Negara boleh menjalankan tugas dengan panduan peguam negara.

Tiada ulasan: