Lawyers for Liberty berkata, cara JAC bekerja dan
pelantikan pesuruhjaya dalam JAC perlu diubah kerana kebanyakan
anggotanya terdiri daripada hakim besar dan kanan.
Pengarah Eksekutif LFL, Eric Paulsen merujuk Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan pada 1 April 2017 selepas mencapai usia persaraan mandatori 66 tahun 6 bulan.
“Cara JAC bekerja, pelantikan pesuruhjaya yang duduk di dalam JAC ini pun harus diubah supaya lebih sensitif. Sebab kalau dilihat sekarang, anggota JAC kebanyakan adalah hakim-hakim besar, hakim-hakim senior.
“Pengalaman dan pandangan mereka hanya terhadap golongan mereka. Tidak rasa sensitif atau tidak ‘divert’,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau mengulas peletakan jawatan Raus dan Zulkefli yang hanya akan berkuat kuasa 31 Julai ini untuk membolehkan semua urusan kehakiman diselesaikan.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dilaporkan berkata, surat dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun lalu dan Sultan Muhammad V memberi perkenan kepada peletakan jawatan mereka, Isnin lalu.
JAC ditubuhkan pada 2 Februari 2009 untuk membawa pembaharuan dan meningkatkan integriti badan kehakiman dengan memastikan proses pencalonan, pelantikan dan kenaikan pangkat bagi hakim mahkamah atasan lebih telus serta mengambil kira penglibatan lebih menyeluruh.
Hakim mahkamah atasan itu termasuk ketua hakim negara, presiden Mahkamah rayuan, hakim besar Malaya, Sabah dan Sarawak, hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah rayuan serta Mahkamah Tinggi.
Paulsen menyifatkan peletakan jawatan Raus dan Zulkefli “sangat patut” kerana sistem kehakiman negara berdepan pelbagai isu, termasuk pelantikan hakim yang tidak adil dan tidak bebas daripada campur tangan pihak eksekutif.
“Mereka dilantik semula sebagai hakim tambahan ikut pintu belakang, masuk kembali ke sistem kehakiman dan tiba-tiba pula dilantik semula sebagai ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan.
“Semasa lantikan itu, memang kita pun tahu pilihan raya akan berlaku dan perdana menteri sedang diasak teruk oleh pembangkang masa itu. Jadi, tiada sebab kenapa hakim lain tidak boleh dilantik sebagai ketua hakim.”
Sementara itu, peguam, Syahredzan Johan menyifatkan peletakan jawatan Raus dan Zulkefli ialah penyelesaian terbaik untuk mengelakkan krisis Perlembagaan yang mungkin menjejaskan usaha membina semula negara.
“Saya berpegang pada resolusi Majlis Peguam Malaysia pada 3 Ogos 2017 yang menetapkan kedudukan mereka sebagai ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan melangkaui had umur 66 tahun dan 6 bulan bercanggah Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setiausaha politik Penasihat DAP, Lim Kit Siang itu juga berharap Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad akan mendengar pandangan pihak berkaitan, termasuk Majlis Peguam, peguam negara dan NGO sebelum menasihati Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-raja mengenai pelantikan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan baru.
“Ini untuk memastikan pelantikan-pelantikan ini dapat memulihkan keyakinan rakyat dan mendukung kebebasan badan Kehakiman.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan