Ahad, 10 Jun 2018

PM mahu semak TPP

Wartawan MalaysiaGazette
Mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL
 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Perjanjian Perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik dikaji semula kerana ekonomi yang lebih kecil seperti Malaysia tidak mendapat manfaat di bawah terma-terma semasa.

Dalam temu bual dengan Nikkei, Dr Mahathir berkata, pakatan perdagangan – termasuk Jepun dan Kanada – harus mempertimbangkan tahap pembangunan pelbagai negara.

“Ekonomi kecil dan lemah harus diberi peluang untuk melindungi produk mereka. Kita perlu mengkaji TPP,” katanya.

Gesaan Dr Mahathir untuk mengkaji semula perjanjian TPP akan menjadi tamparan untuk perjanjian perdagangan 11 anggota, yang dimuktamadkan selepas rundingan sukar awal tahun ini berikutan penarikan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak menolak kepentingan perjanjian TPP dan tidak mengatakan sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk meninggalkan perjanjian perdagangan itu, menurut Nikkei.

Mengulas mengenai kajian semua beberapa projek dan perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan terdahulu, Dr Mahathir berkata, kerajaannya mesti menyemak semula semua perjanjian.

Sebelum ini, beliau telah mengumumkan untuk membatalkan projek keretapi berkelajuan tinggi dan projek landasan keretapi Pantai Timur yang bernilai RM55 bilion.

Perdana menteri itu juga berkata, Malaysia akan mengkaji semula Kod Amalan di Laut China Selatan, yang sedang dirundingkan antara Beijing dan ASEAN.

Dr Mahathir mengulangi pendirian Malaysia yang tidak mahu kehadiran kapal perang di Laut China Selatan dan Selat Melaka. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: