Isnin, 4 Jun 2018

Petronas cabar dakwaan Sarawak berhubung pemilikan petroleum

MALAYSIAKINI



Syarikat minyak dan gas nasional, Petronas, hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) sebagai undang-undang terpakai bagi industri petroleum di Malaysia.

Petronas dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia adalah pemilik eksklusif sumber petroleum, serta pengawal selia industri huluan di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak.

“Petronas percaya penentuan oleh Mahkamah Persekutuan akan membantu memberikan kejelasan mengenai hak dan kedudukannya di bawah PDA.

“Petronas kekal komited untuk menyokong aspirasi Sarawak menyertai dalam industri minyak dan gas di negeri itu, selagi ia berada dalam rangka kerja PDA,” kata syarikat itu.




Tindakan mahkamah oleh Petronas itu dibuat sebulan sebelum kerajaan Sarawak dijadualkan untuk mengambil alih kuasa kawal selia penuh terhadap aspek huluan dan hiliran industri minyak dan gas di negeri itu melalui Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Petros dilancarakan pada 6 Mac lalu oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Abang Openg bagi membolehkan kerajaan negeri memanfaatkan sendiri sumber-sumber minyaknya.

Sebelum ini usaha itu dikuasai Petronas iaitu syarikat yang terletak di bawah kerajaan persekutuan.


Tiada ulasan: