Isnin, 18 Jun 2018

Pas perlu bekerjasama dengan Putrajaya, kata Mustafa Ali

Mustafa Ali sokong cadangan Tuan Ibrahim.
Pas perlu bekerjsama dengan PH bagi mentadbir Terengganu dan Kelantan.


Kerajaan Pas di Kelantan dan Terengganu perlu bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya demi kepentingan kedua-dua pihak, kata veteran parti Islam itu, Mustafa Ali, lapor portal berita, The Malaysian Insight.

Kata bekas setiausaha agung Pas itu, tiada sebab kedua-dua pihak tidak boleh bekerjasama kerana matlamat mereka serupa, membangunkan negara dan negeri selepas dapat mandat rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

Mustafa mengingatkan, kerajaan Persekutuan tidak perlu lagi ada sikap diskriminasi terhadap negeri pembangkang sebaliknya betul-betul menzahirkan semangat persekutuan mengikut Perlembagaan.

“Yang perintah (kerajaan) pusat tentu ada hala tuju untuk bangunkan negara sebaik mungkin. Begitu juga yang memerintah negeri, juga hendak membina negeri selepas pilihan raya.

“Hubungan antara negeri dan pusat sangat penting dan mustahak. Kedua-duanya perlu ada hubungan baik selaras dengan prinsip federalisme,” kata Mustafa dalam wawancara dengan The Malaysian Insight di rumahnya dekat Kuala Terengganu baru-baru ini.

Abdul Hadi bersama MB Terengganu dan Mustafa menemui Mahathir di Putrajaya baru-baru ini.


Mustafa baru-baru ini menjadi orang tengah yang mengatur pertemuan antara Menteri Besar Terengganu, Ahmad Shamsuri Mokhtar dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Pertemuan pada Isnin, 4 Jun itu disertai Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan beliau sendiri.

Selepas lama diketepikan dalam kepimpinan Pas Pusat, penampilan Mustafa bersama Hadi dan Samsuri mengejutkan sesetengah pihak dalam kalangan parti Islam itu, sama seperti pertemuan dengan Dr Mahathir itu menarik perhatian pemerhati politik pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mustafa menjelaskan konteks kenapa beliau mengatur pertemuan itu dengan niat merapatkan hubungan Putrajaya dengan negeri-negeri Pas, khasnya Terengganu yang sangat memerlukan royalti minyak.

“Berdasarkan sejarah kita masa lalu, bila parti yang memerintah negeri tidak sama dengan pusat, maka selalu berlaku tekanan terhadap negeri.

“Pengalaman ini dialami oleh PAS sendiri di Kelantan dan Terengganu serta Kedah (selepas PRU 2008) sebelum ini di mana tidak wujud hubungan yang harmoni dan mesra antara pusat dan negeri.

“Ia sudah tentu menjejaskan parti untuk membangunkan negeri dan memberi kesan kepada negara.

“Oleh itu, saya berpandangan perlu ada hubungan yang baik antara pusat dan negeri,” kata Mustafa.

Menurut Mustafa, pandangannya itu dikongsi bersama oleh Hadi dan Samsuri, yang juga merasakan perlu ada hubungan baik antara pusat dan negeri, lalu beliau mengaturkannya kerana ada hubungan baik dengan perdana menteri.

Selepas PRU14, PAS mengekalkan kuasa di Kelantan yang diperintahnya sejak 1990, dan kembali merampas Terengganu. PAS pernah mentadbir Terengganu selama sepenggal selepas PRU 1999.

Lima tahun antara 1999 dan 2004 itu, ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri dulu, hubungan Persekutuan dan dua negeri itu tegang kerana pertikaian berhubung royalti minyak.

Bantuan Persekutuan juga tidak disalurkan langsung kepada negeri sebaliknya diagihkan melalui agensi pusat yang ditubuhkan di negeri.

Buat pertama kalinya juga, istilah “wang ihsan” iaitu dana Persekutuan untuk Kelantan dan Terengganu, masuk dalam kamus politik Malaysia.

Tiada ulasan: