Sabtu, 16 Jun 2018

Najib akan didakwa walaupun mahkamah putuskan bukan penjawat awam

Najib akan didakwa walaupun mahkamah putuskan bukan penjawat awam
Keputusan tersebut sebelum ini menjadikan bekas perdana menteri Najib Razak bebas daripada pendakwaan jenayah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 
 
MAHKAMAH Persekutuan dijangka akan membatalkan keputusannya bahawa seorang perdana menteri bukan penjawat awam apabila ia mendengar permohonan Dr Mahathir Mohamad untuk satu semakan terhadap keputusan itu pada 6 Ogos ini, kata peguam Haniff Khatri Abdulla.

Keputusan tersebut sebelum ini menjadikan bekas perdana menteri Najib Razak bebas daripada pendakwaan jenayah.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak perlu menunggu sehingga keputusan itu diberikan oleh mahkamah pada Ogos nanti untuk membawa Najib ke mahkamah kerana Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membenarkan perdana menteri didakwa, tambah Haniff.

Mahkamah Persekutuan pada Februari lepas, memutuskan Najib tidak boleh disaman kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai perdana menteri kerana beliau bukan seorang penjawat awam. Keputusan dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Md Raus Shariff.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Abu Bakar Jais pada April tahun lalu membenarkan Najib membatalkan saman oleh Dr Mahathir apabila memutuskan "penjawat awam" dan "jawatan awam" dalam Akta Tafsiran 1967 hanya terpakai pada kakitangan awam seperti yang termaktub di bawah Perkara 132(1) Perlembagaan Persekutuan.

Abu Bakar juga memutuskan Perkara 132(3) Perlembagaan menyatakan perkhidmatan awam tidaklah termasuk jawatan mana-mana anggota pentadbiran dalam Persekutuan atau Negeri.

Sejak Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu, ada pandangan bahawa Najib tidak boleh dikenakan pendakwaan.

"Itu salah. Terlepas daripada keputusan mahkamah itu, Najib boleh didakwa pertuduhan jenayah," kata Haniff.

Tidak lama sebelum PRU14, Haniff memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang memutuskan perdana menteri, jemaah menteri, peguam negara, menteri besar, bukan penjawat awam.

Semakan itu berhubung saman di bawah undang-undang tort yang mempersoalkan tanggungjawab kakitangan awam terhadap pelanggannya, bahawa ada salah laku atau salah guna kuasa.

Menurut Haniff, semakan mahkamah ini hanya berhubung tindakan sivil tersebut dan tanpa semakan itu pun, Najib tidak boleh terlepas daripada tindakan jenayah.

"Ini kerana beliau termasuk dalam kategori penjawat awam yang ditafsirkan oleh Akta SPRM, sama seperti apa yang berlaku pada Khir Toyo," kata Haniff, merujuk kepada bekas menteri besar Selangor itu.

Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengesahkan sabitan ke atas Khir atas tuduhan bersabit dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima hadiah dalam kedudukannya sebagai penjawat awam. Beliau dihukum penjara 12 bulan.

Haniff berkata, saman Dr Mahathir terhadap Najib difailkan kerana pada ketika itu, bekas Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali tidak mengemukakan pertuduhan jenayah terhadap bekas perdana menteri itu.

"Keputusan Mahkamah Persekutuan hanya bersabit atas saman misfeasans. Hanya dalam salam saman sivil itu saja Mahkamah Persekutuan memutuskan beliau bukan penjawat awam. Tetapi itu tidak bermakna beliau bukan penjawat awam dalam tindakan jenayah," kata Haniff.

Tiada ulasan: