Isnin, 18 Jun 2018

MP DAP: Surat sokongan tak salah jika berniat baik

 
   

Pengerusi DAP Kebangsaan Tan Kok Wai berkata amalan mengeluarkan surat sokongan bukanlah sesuatu yang luar daripada kebiasaan, tetapi perlu melihat kepada tujuannya.

"Tiada apa yang salah dalam mengeluarkan surat sokongan tetapi bukan untuk semua tujuan.

"Misalnya ramai yang datang ke pusat khidmat saya untuk meminta bantuan, terutama golongan miskin yang mahu surat sokongan kita untuk jabatan kebajikan atau badan kebajikan.

"Anggota Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun menolong dengan niat baik kerana beliau diberitahu penjaja mahu mendapat lebih pendapatan ekoran peningkatan perbelanjaan sempena musim perayaan," katanya yang juga Anggota Parlimen Cheras kepada Malaysiakini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dilaporkan meluluskan bazar Ramadan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur hanya kerana surat sokongan oleh Fong.

Isu itu timbul selepas Ketua Pemuda BERSATU Bukit Bintang Mohd Noorhisyam Abd Karim didakwa menyalahgunakan hubungan politik untuk mendapat hak 80 tapak bazar di situ dan kemudian menyewakannya dengan kadar setinggi RM5,000 setapak, walaupun beliau sendiri hanya membayar RM6,238 untuk kesemua lot.

Fong pula berkata beliau mengeluarkan surat itu selepas diberitahu tiada bayaran yang akan dikutip dan ia untuk membantu peniaga yang gagal mendapat lesen bazar Ramadan.

Norhisyam menafikan dakwaan itu dan sebaliknya berkata beliau mengutip sewa dengan kadar yang sama dikenakan oleh DBKL.

Isu itu membangkitkan persoalan berhubung penggunaan surat sokongan politik untuk mempengaruhi keputusan kerajaan yang dikatakan menjadi amalan biasa ketika era pentadbiran BN.

Sementara itu, Tan menyifatkan kenyataan kenyataan pengarah jabatan pelesenan dan pembangunan penjaja DBKL Anwar Mohd Zain bahawa beliau perlu meluluskan permohonan bazar itu kerana surat Fong sebagai tidak bertanggungjawab.

"Jadi anda (Anwar) kata MP lebih berkuasa daripada datuk bandar?" soalnya.

Katanya, anggota parlimen memang sentiasa menulis surat kepada pihak berkuasa tempatan atau jabatan kerajaan lain untuk meminta mereka bertindak terhadap isu seperti longkang tersumbat dan jalan rosak, tetapi ia biasanya mengambil masa.

"Jadi mengapa dalam kes ini surat sokongan begitu berkuasa sehingga anda tiada pilihan untuk memberi kelulusan?" soalnya.

Salah jika ada konflik kepentingan

Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh juga menyuarakan sentimen sama iaiatu surat sokongan adalah amalan biasa.

"Amalan itu sendiri tidak salah. Surat rayuan atau bantahan juga tak salah.

"Ia menjadi kesalahan apabila berlaku konflik kepentingan atau penulisnya mendapat keuntungan," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau mencadangkan DBKL mengendalikan segala urusan berkaitan pelesenan dan kelulusan perniagaan dan tidak melibatkan anggota atau parti politik.

"Rasuah memerlukan dua belah pihak. Mereka yang tamak dan mereka yang mahu mengambil jalan mudah dan tak mahu melalui proses," katanya lagi.


Tiada ulasan: