Jumaat, 15 Jun 2018

Menjelang pemilihan, Umno sedang kucar-kacir


Hasil carian imej untuk FOTO ZAHID HAMIDI





MENGEJUTKAN, tetapi bukan lagi rahsia. Umno Johor sedang mengatur konspirasi terbuka di peringkat negeri untuk menyingkirkan pemangku presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

Umno Johor, negeri tempat bertapaknya parti keramat yang ditubuhkan pada Mei 1946 itu, walaupun tidak memiliki calon bagi kerusi nombor satu dan dua di peringkat nasional, telah mengambil langkah berani.

Sebagai negeri yang pernah menjadi kubu Umno dan menerima kejutan kalah teruk pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, pemimpin kanan di Johor kini bersatu hati melancarkan perang menyingkirkan Zahid.

Tindakan pemangku timbalan presiden, Hishammuddin Hussein menarik diri, rupanya ada motif penting.

Sebagai rakan akrab Zahid, selepas Najib Razak meletakkan jawatan pada 11 Mei lalu, cucu pengasas parti keramat itu menyisihkan diri bagi memberi laluan kepada gerakan anti Zahid dilancarkan di Johor.

Umno Johor dilihat sedang berkonspirasi secara tersusun untuk membangkitkan teori domino.

Motifnya jelas – menghantar isyarat ke peringkat nasional supaya mana-mana pemimpin yang dianggap orang Najib, perlu dinyahkan daripada parti.

Justeru, ada dramanya. Kenapa veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dilobi Umno Johor? Mengapa Ku Li tidak memulakan langkah kempennya di Kelantan?

Ia konspirasi simbolik; gerakan pembaharuan Umno perlu bermula di Johor.

Walaupun hanya mencalonkan bekas menteri besar, Khaled Nordin ke kerusi naib presiden, Umno Johor mahu memainkan peranan sebagai kuasa penentu bagi proses kebangkitan pembaharuan Umno.

Zahid pula sebenarnya sudah menghidu semua drama ini. Tindakan hadir ke majlis berbuka puasa di rumah Ku Li minggu lalu antara lobi Zahid untuk berdiplomasi. Namun, tiada tanda-tanda Ku Li akan menyokongnya.

Tindakan Zahid menziarahi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 7 Jun lalu, ada tafsiran politiknya. Ia dilihat sebagai langkah terdesak bekas timbalan perdana menteri itu untuk bertindak-balas terhadap konspirasi Umno Johor.

Ada dua tafsiran yang sedang orang bualkan sekarang berhubung tindakan aneh Zahid.

Pertama, Zahid sengaja mahu mengisyaratkan kepada orang Johor bahawa konspirasi menjatuhkannya akan ada pembalasan yang besar. Zahid menyampaikan isyarat, dia mampu bekerjasama dengan Dr Mahathir kalau Umno menjatuhkannya.

Kedua, ia dianggap misi peribadi Zahid dalam mencari perlindungan politik. Zahid mengharapkan tawaran persefahaman dan simpati politik Dr Mahathir selaku pengerusi Bersatu – parti yang relevan untuk Zahid menyeberang kalau hilang pengaruh dalam Umno.

Melihatkan Zahid dibantai teruk setelah pendedahan pertemuan itu diumumkan Dr Mahathir, kem Zahid jadi kelam-kabut. Ada versi disebarkan, kononnya pertemuan itu mencapai titik positif.

Kem Zahid menyebarkan cerita yang aneh dan tidak masuk akal. Kononnya, dalam pertemuan itu, Dr Mahathir menitiskan air mata apabila Zahid membangkitkan isu nasib Umno yang bakal musnah.

Namun, Dr Mahathir awal-awal sudah mendedahkan isi pertemuan itu. Kata PM, Zahid meminta nasihat. Tetapi mendapat teguran sinis apabila Dr Mahathir menyindir tajam. Bahawa, nasihatnya: Umno perlu menerima akibat kerana telah khianat kepada rakyat.

Spekulasi kem Zahid, bahawa Dr Mahathir menitiskan air mata pada pertemuan itu dianggap jenaka murahan. Sejarah membuktikan, Dr Mahathir tidak menyukai Zahid sejak dalam Umno.

Apatah lagi, pada puncak krisis Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim pada 1998, Zahid adalah orang suruhan Anwar dalam kempen menjatuhkan Dr Mahathir waktu itu.

Zahid paling lantang mendesak Dr Mahathir berundur. Malah, Zahid mengetuai kempen menjatuhkan Dr Mahathir dengan menggembar-gemburkan isu kroni. Zahid mengugut Dr Mahathir untuk mendedahkan senarai kroni yang mendapat pelbagai projek mewah ketika itu.

Walaupun Zahid kekal bersama Umno ketika Anwar menubuhkan Parti Keadilan Nasional, dia dibekukan Dr Mahathir tanpa sebarang jawatan Kabinet hingga 2003.

Kini, selepas gagal mendapatkan sokongan positif Dr Mahathir ketika dirinya sedang dikhianati Umno Johor, Zahid terbang menunaikan umrah pada 9 Jun.

Namun, merebak berita hangat. Kononnya, Zahid akan bertemu seorang tokoh politik pembangkang di Mekah dalam sehari dua ini. Tujuannya, bagi mengusahakan sesuatu atas nama demi kepentingan Melayu dan Islam.

Sama ada berita ini benar atau palsu, keadaan survival politik Zahid amat terdesak. Kalau benar, cerita bertemu seseorang di Mekah dengan tujuan pakatan politik, akan semakin kuatlah gelombang gerakan untuk menjatuhkan Zahid dalam Umno.

Orang Umno berasa sangat marah setelah mengetahui Zahid bertemu Dr Mahathir bersendirian.

Apalagi, dengan niat mendapatkan nasihat. Mana mungkin, Dr Mahathir memberikan nasihat kepada parti saingan yang kini dianggap musuh politiknya!

Kini tindak-tanduk Zahid serba tidak kena. Dia seperti pemain poker yang bergantung pada kad terakhir untuk menang.

Apa pun cerita dari Mekah selepas ini, ia tidak lagi penting. Berdasarkan senario Umno, Zahid bakal berdepan teori komplikasi penolakan Umno.

Umno Johor akan memulakan langkah penolakan.

Sudah jelas, ada petunjuk Ku Li pasti bertanding. Umno Kelantan dan Negeri Sembilan akan menyusul dengan menyatakan sokongan pada Ku Li. Nasib Zahid akan lebih terpinggir, apabila Pemuda Umno akan turut menyokong Ku Li.

Havoc! Memang Umno sedang huru-hara!

Tiada ulasan: