Sabtu, 23 Jun 2018

Keputusan Mahkamah Persekutuan tidak jejas keupayaan Petronas teruskan tindakan perundangan

Bernama / ASTRO AWANI
Keputusan Mahkamah Persekutuan tidak jejas keupayaan Petronas teruskan tindakan perundangan
Keputusan ini mengukuhkan pandangan Petronas bahawa hanya Parlimen boleh menggubal undang-undang mengenai perkara-perkara berkaitan industri huluan petroleum termasuk kuasa kawalseliaan di seluruh Malaysia. - Gambar hiasan
 
 
KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi kebenaran untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan negeri Sarawak, tidak menjejaskan sama sekali keupayaan syarikat minyak nasional itu untuk meneruskan tindakan undang-undang, dengan niat untuk mendapatkan kejelasan mengenai hak dan kedudukannya di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.

Petronas dalam satu kenyataan berkata keputusan mahkamah itu adalah semata-mata berdasarkan alasan teknikal dan ia memutuskan bahawa perkara itu terletak di luar bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

"Mahkamah Persekutuan tidak dengan apa-apa cara menentukan atau mengesahkan merit kedudukan undang-undang yang diambil oleh kerajaan Sarawak untuk mengawal selia aktiviti huluan petroleum di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958.
–– ADVERTISEMENT ––
 
"Mahkamah Persekutuan juga menarik perhatian kepada konsesi oleh kerajaan Sarawak bahawa Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 telah digubal secara sah," kata kenyataan itu.

BACA: Petronas gagal peroleh kebenaran mahkamah untuk cabar kerajaan Sarawak

BACA: Selagi ada PDA 1974, Sarawak ada hak ke atas Petronas - Sharifah Hasidah


Oleh itu, ini mengukuhkan pandangan Petronas bahawa hanya Parlimen boleh menggubal undang-undang mengenai perkara-perkara berkaitan industri huluan petroleum termasuk kuasa kawalseliaan di seluruh Malaysia, baik di darat mahupun di luar pesisir mengikut PDA 1974.

Terdahulu hari ini, Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop, yang merupakan satu-satunya hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang, menolak permohonan Petronas selepas memutuskan bahawa Mahkamah Persekutuan tidak boleh mendengar perkara itu kerana relif perisytiharan yang dimohon syarikat minyak nasional tidak termaktub di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan tetapi di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. -- BERNAMA 
 
 

Tiada ulasan: