Isnin, 18 Jun 2018

Jamal rasa kerajaan guna 'hukum rimba' terhadapnya

 
   

Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dikatakan percaya kerajaan baru mengenakan "hukum rimba" terhadapnya.

Perkara itu disampaikan wakilnya Armand Azha Abu Hanifah hari ini, yang mendakwa Jamal ada menghubunginya hari ini.

"(Saya) bercakap dengan beliau pagi tadi, beliau kata tindakan kerajaan hari ini lebih kepada mencari kesilapan lampau, tanpa (mengikut) kedaulatan undang-undang yang sebenar.

"Hari ini kita lihat kerajaan baru hari ini lebih (mengikut) 'rule of the jungle' (hukum rimba) terutama untuk menjatuhkan hukum terhadap Jamal," katanya ketika ditemui pemberita di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.

Jamal yang melarikan diri daripada buruan polis sejak bulan lalu bertanding jawatan ketua pemuda dalam pemilihan Umno kali ini. Armand mewakilinya untuk menghantar borang pencalonan.

Dia diburu atas beberapa dakwaan kesalahan termasuk membawa senjata api dalam keadaan mabuk atau tidak senonoh.




Armand (gambar) bertegas Jamal layak untuk bertanding walaupun kini menghilangkan diri.

Sejumlah sembilan calon layak untuk bertanding jawatan ketua pemuda dalam pemilihan yang akan bermula hujung bulan ini.

Sekretariat pemilihan Umno mengesahkan Jamal layak untuk bertanding dan merupakan calon nombor enam.

Dalam pada itu, Armand berkata beliau yakin Jamal masih berada di dalam negara.

"Beliau pernah mengumpulkan anak-anak muda untuk berdepan dengan Bersih, ia sebahagian daripada kelebihan dia sebagai calon," katanya lagi.

Selepas menghilangkan diri sejak 25 Mei lalu, polis telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya untuk menangkap ahli politik kontroversi itu.


Tiada ulasan: